PETALING JAYA: Melayangkan ucapan tahniah kepada suaminya, Syamsul Yusof yang membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kazar, hari ini, Puteri Sarah bagaimanapun memberi bayangan bakal membongkarkan sesuatu dalam video yang akan dimuat naik dalam masa terdekat.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Puteri Sarah juga tertanya-tanya mengapa setiap yang berlaku diletakkan di bahunya dan mendakwa pernikahan itu sudah berlangsung beberapa bulan lalu.
“Semua yang berlaku adalah kesilapan saya? Sekejap ya, saya tengah shooting. Kejap lagi saya buat video. Tunggu ya.
“Apapun, tahniah sebab akhirnya mengaku dan berdaftar. Selepas sudah berbulan nikah di Thailand kan ,” kata pelakon itu.
Syamsul hari ini mengumumkan pernikahannya dengan Ira Kazar yang berlangsung di sebuah lokasi di Thailand menerusi Instagram, sebentar tadi.
Sebelum ini, Puteri Sarah mendakwa suaminya sudah bernikah dengan Ira di negara jiran tersebut.
Malah, pelakon itu juga mendakwa menerima pelbagai soalan berhubung desas-desus tersebut, selain dengan sinis mempersoal tindakan Syamsul yang mahu menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
-Utusan