Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sedekah, sumbangan wang kepada pengundi juga rasuah -Ketua SPRM


SPRM akan menyiasat sebarang bentuk rasuah mengikut peruntukan undang-undang, bukannya berdasarkan tafsiran sendiri mana-mana individu, kata ketua pesuruhjayanya Azam Baki.

Azam berkata Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menyatakan dengan jelas takrifan membeli undi.

"Seksyen 10 akta ini sangat jelas dan apa saja istilah yang digunakan orang untuk mempertahankan hujahnya hanyalah tafsiran peribadi.

"Panggil ia sedekah atau sumbangan, (namun) undang-undang melihatnya sebagai rasuah yang diberi kepada pengundi - tanpa mengira sama ada pengundi yang memintanya atau tidak," katanya seperti dipetik The Star.

Menurut Azam, Seksyen 10 akta tersebut menjelaskan secara terperinci perlakuan rasuah sebelum, ketika dan selepas pilihan raya.

Katanya, sama ada ia dilakukan secara langsung atau tidak langsung, atau calon sendiri yang memberinya atau ia diberi wakilnya, tidak menjadi perkiraan dalam perkara itu.

Dia berkata demikian selepas tercetusnya pertikaian susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa PRU15 adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.


Menurutnya, undang-undang hanya melarang calon atau wakil calon daripada memberinya.

Pada 3 Jan lepas, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.

Petisyen itu mendakwa PAS merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 Nov 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU15.

-Awani