Tawau: Wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, awal bulan ini.
Tertuduh, Nurima Juli, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dzul Elmi Yunus.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurimah bersama beberapa individu yang masih bebas dituduh membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 10.30 malam pada 13 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu rekuisisi, laporan kimia dan laporan bedah siasat.
Terdahulu, tertuduh yang berpakaian t-shirt hitam dan seluar jeans biru tiba di mahkamah kira-kira 2.22 petang sambil diiring anggota polis sebelum dibawa ke bilik bicara.
Media sebelum ini melaporkan wanita itu terlibat dalam pertengkaran bersama si mati serta lelaki bergelar Datuk dan individu lain di sebuah pusat hiburan di Lahad Datu pada awal Januari lalu.
Punca pergaduhan di adalah kerana si mati tidak berpuas hati dengan pegawai kanan yang menjalin hubungan dengan tertuduh yang masih isterinya ketika itu.
Tertuduh bersama lapan lapan pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan direman bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh terbabit.
video:
-Harian Metro