Anwar Ibrahim dilaporkan akan menjejakkan kaki di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur malam ini, 25 tahun selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.
Perdana menteri dilapor akan hadir pada jam 8.30 malam bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, yang melibatkan wakil-wakil parti kerajaan.
Perkara itu disahkan oleh seorang jurucakap sekretariat kepada Berita Harian.
Selain Anwar, kehadiran DAP juga menjadi tumpuan memandangkan konflik lama parti itu dan Umno sebelum ini.
Pejabat Umno menjadi pejabat urusan sekretariat itu yang diketuai oleh Ketua Pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki.
Sekretariat itu ditubuh bagi membincangkan perjalanan kerajaan dan langkah ke hadapan, termasuk kerjasama politik serta janji-janji manifesto parti-parti kerajaan.
Dalam perhimpunan agung Umno sebelum ini, hanya wakil BN diundang atas alasan “ingin menyelesaikan perkara-perkara yang berkait dengan keputusan dalaman Umno dan BN”.
Bagaimanapun, ramai melihat tindakan itu dibuat supaya penyokong Umno tidak terkejut dengan perubahan drastik hala tujunya yang membentuk kerajaan dengan musuh tradisi kali ini.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan dan butiran lanjut berkaitan mesyuarat malam ini.
Sementara itu, pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat terlebih dahulu petang ini, sebelum bertemu parti-parti kerajaan lain malam ini.
-MalaysiaKini