Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anwar minta Bersatu perjelas sumber lebih RM300 juta dalam akaun


PUTRAJAYA - Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa untuk memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kedudukan kewangan parti itu yang dikatakan mempunyai lebih RM300 juta di dalam akaun parti dalam masa singkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan yang dijalankan SPRM adalah berikutan terdapat laporan yang dibuat.

"Sekiranya mereka benar-benar bersih seperti yang diceritakan, pemimpin tersebut perlu jelaskan kepada badan penyiasat mengapa pada masa singkat mampu mengumpul wang sebegitu banyak, dan dari sumber mana kepada SPRM," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di bangunan Perdana Putra pada Khamis.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan pimpinannya mengulangi pendirian tidak mencampuri siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM terhadap mana-mana parti politik.

"Adalah tidak bertanggungjawab tokoh-tokoh politik pembangkang yang sedang disiasat membuat tomahan (terdapat) campur tangan daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang dipimpinnya tidak akan mengulangi tindakan yang menekan mana-mana pihak seperti dilakukan sebelum ini.

"Kita tidak menggunakan badan-badan ini," jelasnya.

Anwar berkata, ketika menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan, beliau mendapati terdapat projek yang melibatkan perbelanjaan terlalu tinggi tanpa melalui proses tender.

"Dalam projek JanaWibawa dan tebatan banjir saya dapati ia melibatkan kos yang terlalu tinggi," katanya.


Ditanya mengenai desakan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad agar PKR dan DAP mendedahkan akaun, Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

"Tidak ada masalah (dedahkan) dan akaun itu dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Jelasnya, pemimpin Bersatu tidak mendedahkan akaun parti namun sebaliknya, ia didedahkan oleh pasukan penyiasat.

"Itu maknanya SPRM dapat laporan dan siasat," katanya.

-Sinar