Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Datuk dan Datin dicekup, bekal 'maid' secara haram


Shah Alam: Kegiatan pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin menjalankan kegiatan ejen pembantu rumah asing (PRA) haram terbongkar selepas ditahan di sebuah kediaman di Shah Alam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek berusia 56 dan 66 tahun ditahan dalam operasi penguatkuasaan pada 16 Februari lalu.

Menurutnya, operasi dijalankan hasil daripada maklumat orang awam dan risikan JIM.

"Turut ditahan seramai 13 wanita kesemuanya adalah warga Indonesia yang berusia 22 hingga 47 tahun.

"Siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, lokasi serbuan adalah rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warga Indonesia terbabit.

"Warga Indonesia itu akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan pekerja pembersihan. Mereka dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.

"Dipercayai pasangan ini menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia," katanya.


Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ia mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis itu.

"Manakala kesemua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan-kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Kes akan dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen yang sah," katanya.

-HarianMetro