KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa beliau akan menerima sejumlah wang yang besar daripada luar negara yang akan didepositkan ke dalam akaun peribadinya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga tidak pernah menafikan telah membuka akaun peribadi di Ambank.
Menurut bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, pembukaan akaun peribadi Najib di bank berkenaan pada 2011 dan kemasukan wang berjumlah besar ke dalam akaun tersebut turut diketahui ahli-ahli lembaga Ambank.
Selain itu, saksi pendakwaan ke-41 itu tidak pernah melihat sebarang dokumen daripada Najib yang meminta agar status atau transaksi membabitkan akaunnya dirahsiakan.
Ging Ping berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Terdahulu, ketika disoal mengenai pemecatannya daripada bank berkenaan, wanita itu menyatakan, dia tidak boleh mendedahkan perincian pemecatannya kerana terdapat terma penyelesaian antaranya dan Ambank.
Ini kerana, selepas dipecat daripada bank itu, Ging Ping telah mencabar pemecatannya namun kes itu diselesaikan melalui perjanjian penyelesaian yang antaranya menyentuh mengenai perincian pemecatannya.
Pada prosiding sama, saksi tersebut memberitahu bekas penyelia dan pengarah urusan Ambank, Ashok Ramamurthy pernah menyuarakan rasa tidak senang terhadap akaun peribadi Najib dan menyatakan hasrat untuk menutup akaun-akaun terbabit.
“Rasa tidak puas hati itu timbul ekoran sering berlakunya pengeluaran melebihi baki yang ada dalam akaun (overdrawn) dan kemasukan dana yang besar,” ujar Ging Ping.
Tambahnya, dia telah memberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengenai perkara tersebut dalam satu perbualan pada tengah malam.
Lelaki terbabit pada mulanya keberatan untuk berbuat demikian namun akhirnya bersetuju untuk menutup akaun peribadi Najib di Ambank.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Mahkamah diberitahu bahawa Najib mempunyai lima akaun peribadi membabitkan akaun simpanan dan semasa telah dibuka di Ambank di antara 2011 sehingga 2015.
Akaun simpanan yang berakhir dengan nombor 481 dan akaun sesama berakhir 694 dibuka pada 13 Januari 2011 dan telah ditutup pada 26 Ogos 2013.
Tiga lagi akaun yang masing-masing berakhir 880, 906 dan 898 dibuka pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 Februari ini.
– UTUSAN