Polis temui anggota badan model dalam periuk sup, 5 suspek ditahan (video)
Hong Kong: Heboh di seluruh dunia apabila Polis Hong Kong menemui kepala pempengaruh media, Abby Choi yang dibunuh kejam di dalam periuk sup di dalam sebuah rumah di daerah Tai Po, luar bandar Hong Kong, lapor The Straits Times.
Pada masa sama, seorang lagi suspek, kekasih kepada bekas bapa mentua Choi, ditahan, menjadikan jumlah suspek kes pembunuhan kejam itu kepada lima orang.
Terdahulu, polis menemui dua periuk yang mengandungi sup dan bahagian badan manusia, beberapa hari selepas pembunuhan kejam itu berlaku.
Siasatan polis mengesahkan bahawa mereka menemui kepala dan rusuk di dalam salah satu daripada periuk besar itu yang mereka ambil pada Jumaat, dari dalam sebuah rumah di mana dia dikatakan disembelih.
Kepala dan tulang rusuk itu dipercayai milik Choi, kata mereka, tetapi ujian DNA diperlukan untuk mengesahkannya.
Kedua-dua periuk itu diisi hampir penuh dengan sup dan daging cincang dipercayai sisa manusia.
Terdapat juga lobak merah dan lobak hijau di dalamnya.
Periuk-periuk itu dibawa ke rumah mayat pada Sabtu dan pada Ahad, pakar forensik mula meneliti kandungannya.
Ketika itulah mereka menemui kepala dan rusuk, dan dipercayai seseorang cuba memukul kepala mangsa menurut satu laporan media.
Polis meneruskan usaha mencari bahagian badan yang masih hilang, termasuk tangan dan tubuhnya.
Sebahagian daripada mayat mangsa berusia 28 tahun itu – kakinya ditemukan dari peti sejuk, pada Jumaat lalu.
Alat penghiris daging, gergaji elektrik, tukul, pelindung muka dan baju hujan hitam turut ditemukan di tempat kejadian.
Polis pada Ahad berkata, pihaknya menahan seorang lagi suspek, wanita berusia 47 tahun yang nama keluarganya adalah Ng.
Dia adalah kekasih kepada bekas bapa mentua Choi dan didakwa bersama-sama lelaki itu menyewa sebuah flat di kawasan kampung.
Setakat ini, tidak jelas sama ada wanita itu mengetahui mengenai pembunuhan berkenaan. Wanita sama juga disyaki terbabit dalam membantu usaha bekas suami Choi iaitu Alex Kwong, 28, melarikan diri.
Ng yang bekerja sebagai tukang urut yang mempunyai hubungan dengan bapa Kwong selama kira-kira enam bulan.
Choi dilaporkan hilang pada Selasa dan kali terakhir dilihat di daerah Tai Po di mana lokasi mayatnya ditemukan, menurut polis.
Kira-kira 100 penyelam elit dan pegawai polis dilihat berada di kawasan perkuburan di mana bekas bapa mentua Choi dan bekas abang iparnya dilihat pada Rabu lalu.
Pasukan berkenaan turut menggunakan dron dan anjing pengesan dalam operasi berkenaan.
video: