PEMIMPIN Umno menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang meminta monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam dipecahkan adalah sebagai kurang ajar.
Malah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah melihat pemimpin DAP itu seolah-olah cuba mencabar perpaduan antara parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Tegasnya, Ramasamy begitu kurang ajar dan sering mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan orang Melayu dan khususnya pimpinan Umno walaupun mereka bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Dalam keadaan situasi politik hari ini saya tahu walaupun kita dalam sebuah Kerajaan Perpaduan tetapi kenyataan beliau ini dilihat seperti cuba mencabar perpaduan.
“Ramasamy jagalah mulut kerana kita hari ini dalam sebuah Kerajaan Perpaduan, cuba hormati semua kenyataan yang anda keluarkan,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Semalam, Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Menurutnya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.
Mengulas lanjut, Armand Azha yang juga bakal calon Ketua Pemuda Umno mengingatkan Ramasamy supaya tidak mencurah gas ke dalam api dan cuba menggugat keamanan serta perpaduan negara ini.
“Hari ini kita sedang memikirkan bagaimana untuk kita membina negara dan memastikan kestabilan politik.
“Namun, kenyataan anda kebelakangan ini telah banyak mengguris perasaan pimpinan Umno apabila turut mempertikaikan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Sehubungan itu, Armand Azha meminta Ramasamy supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan keamanan dan perpaduan di negara ini tergugat.
“Mengapa anda nak pertikaikan benda yang lama ini? Ada salah ke penjawat awam ini?.
“Sekali lagi, jaga kenyataan walaupun kita dalam sebuah Kerajaan Perpaduan. Berhenti bercakap perkara mengarut,” katanya.
– Malaysiapost