Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Hakim Nazlan: SPRM tiada keperluan maklum kepada Hakim Negara


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada keperluan untuk memaklumkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bagi menyiasat Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ini kerana, SPRM adalah sebuah badan bebas dan bukan pun berada di bawah Badan Kehakiman negara, tegas Dr Azmi Hassan, Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Justeru, kenyataan Tengku Maimun bahawa beliau tidak dimaklumkan berhubung siasatan terhadap Mohd Nazlan oleh SPRM mengelirukan.

“Siasatan terhadap hakim hanya perlu dilaporkan jika dibuat oleh Badan Kehakiman. Tetapi dalam isu ini (Nazlan), SPRM bukan berada di bawah badan ini. Jadi apa keperluan untuk lapor pada Ketua Hakim Negara?

“Sebagai sebuah badan bebas, SPRM tidak perlu melaporkan kepada sesiapa untuk melakukan siasatan waima kepada perdana menteri pun.

“Apabila seorang Ketua Hakim Negara membuat kenyataan seumpama ini, ia menunjukkan SPRM tidak bebas,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Maimun yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya berkata, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan Badan Kehakiman.


Katanya, antara protokol yang perlu dipatuhi ialah, badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan; badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara; dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan perlembagaan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Mengulas lanjut, Azmi menambah, kenyataan yang dibuat oleh Tengku Maimun itu cukup sensitif kerana ia akan memberi tanggapan tidak baik kepadanya dan institusi kehakiman.

Ia secara tidak langsung menjejaskan kredibilitinya di mata rakyat, sebaliknya meningkatkan kedudukan SPRM yang telus dalam melunaskan tanggungjawabnya berhubung kes Mohd Nazlan yang banyak diperkatakan.

“Pada saya, Ketua Hakim Negara perlu memikul tanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat itu,” tambah Azmi lagi. – MalaysiaGazette