PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menyiasat dakwaan penyelewengan mengakibatkan kerugian RM157 juta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan pelaburan dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.
Katanya, tumpuan siasatan adalah terhadap kes yang disyaki melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu dikatakan tersebut. Sekiranya berlaku rasuah dan penyelewengan maka ia tidak akan terlepas daripada siasatan.
“Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan melibatkan perbuatan jenayah. Ia juga melibatkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, jika SPRM melihat ia berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka.
Selasa lalu, laporan “UiTM Holdings rugi RM157 juta” yang disiarkan media mendakwa jumlah itu adalah berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Manakala, keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.
UiTM Holdings Sdn Bhd adalah syarikat pegangan pelaburan milik penuh universiti itu yang menguruskan lapan syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi, dan kreatif.
-FMT