Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tak terlintas ada pihak guna akaun Najib untuk lakukan jenayah -Saksi


KUALA LUMPUR - Seorang bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, dia tidak menyangka ada pihak akan menggunakan akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan pengubahan wang haram.

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata demikian dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram, dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-41 ini berkata, kebiasaannya, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil maklum mengenai akaun seorang Perdana Menteri termasuk transaksi yang berlaku.

“Mereka pastinya memerhatikan akaun berkenaan kerana ia diklasifikasikan sebagai sensitif.

“Najib ketika kejadian merupakan Perdana Menteri, secara tidak langsung menjadi individu yang terdedah secara politik,” katanya semasa sesi soal balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam itu kemudiannya mencadangkan, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah menggunakan kod nama seperti 'pai Amerika' bagi mata wang dolar (USD) manakala 'satay' untuk Ringgit Malaysia dalam urusan melibatkan akaun bank Najib.

Ini kerana beliau berkata, seseorang akan menggunakan nama kod apabila mereka terlibat dalam pengubahan wang haram.


Muhammad Shafee berkata, AmBank sepatutnya dimaklumkan dengan tingkah laku Jho Low, kerana sering menggunakan kod nama bagi menggambarkan sesuatu perkara.

Muhammad Shafee: Awak percaya pada Jho Low sepenuhnya?

Joanna: Ya.

Muhammad Shafee: Kamu tidak pernah terlintas, bahawa transaksi berkaitan pengubahan wang haram mungkin berlaku?

Joanna: Saya tidak pernah terfikir, seseorang akan menggunakan akaun Perdana Menteri untuk melakukan jenayah.

Bagaimanapun, saksi ini berkata, Najib pastinya mengetahui mengenai transaksi dalam akaun banknya.

Ini kerana katanya, bekas Ahli Parlimen Pekan ini melakukan pengeluaran wang termasuk menggunakan cek, malah kad kreditnya diguna sepanjang tempoh itu.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

-Sinar Harian