Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tujuh maut ketika turun dari Genting


Seramai tujuh orang maut selepas van yang dinaiki terbabas di sisi jalan di Genting Highland, Pahang.

Menurut Komander Operasi PKPgB Mohd Saufi Zakaria, seramai 14 mangsa keseluruhan yang terdiri daripada 12 orang wanita dewasa serta dua lelaki dewasa menaiki kenderaan tersebut.

“Sepasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highland dikejarkan ke lokasi kemalangan yang melibatkan sebuah van terbabas ke sisi jalan di KM 4.8 jalan turun Genting Highland petang ini.

“Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan Rescue Tools sebelum mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.


“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” menurut kenyataan bomba Pahang melalui hantaran Facebook.

Kata kenyataan itu lagi, enam mangsa yang maut meninggal di lokasi kemalangan itu.

Dengar bunyi dentuman kuat

‘Saya dengar bunyi dentuman yang dahsyat dan suara mangsa minta tolong’.

Demikian kongsi seorang pengawal keselamatan mengenai detik cemas di lokasi kejadian.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Santos, 37, berkata, ketika kejadian, dia sedang bertugas di pos pengawal sebuah ladang hidroponik.

Menurut Santos, ketika kejadian, sebaik terdengar bunyi dentuman, dia dan seorang lagi rakan bergegas ke lokasi kejadian dan melihat kesemua mangsa tersepit di dalam van tersebut.

“Ketika kejadian, saya dengar bunyi dentuman yang amat dahsyat, saya lihat dari pos pengawal keselamatan ada berlaku kemalangan berhampiran tempat kerja.

“Mangsa yang ada dalam kenderaan menjerit minta bantuan untuk selamatkan mereka.

“Atas faktor keselamatan, saya tidak berani untuk menyelamatkan mereka, saya hanya membantu mengawal lalu lintas di lokasi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 1.15 tengah hari itu berlaku di Kilometer 4.8, Jalan Genting Highlands hari ini.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, ketika kejadian, kenderaan itu membawa seramai 14 orang dan dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Van tersebut dikatakan terbabas dan melanggar penghadang jalan menyebabkan tujuh mangsa meninggal dunia. 

– KOSMO! ONLINE