Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Aeril, Wawa saman blogger


KUALA LUMPUR : Perjalanan pelakon dan usahawan Wawa Zainal membina empayar bisnes kosmetik sehingga berjaya mencipta nama yang gah bukan suatu perkara mudah.

Banyak air mata dan keringat dilaburkan, selain pelbagai suka duka yang dilalui untuk berdiri hebat dengan produk kosmetik yang berada di pasaran.

Malangnya, nama baik yang dibina selama beberapa tahun tiba-tiba dicemari dengan laporan sebuah blog yang menggunakan fotonya bersama suami, Aeril Zafrel bagi paparan artikel mengenai isu syarikat potong gaji pekerja.

Wawa berkata, berita kegagalannya membayar penuh gaji pekerja seperti dihebohkan di media sosial adalah fitnah terburuk pernah diterimanya bersama Aeril.

"Ini adalah fitnah paling teruk pernah kami terima. Kalau blogger itu meletakkan tanda soal dan gambar kami dikaburkan dalam kenyataannya, mungkin kami boleh terima lagi.

"Isu yang dikaitkan dengan kami itu tidak betul. Kami tidak pernah memotong gaji pekerja. Malah, ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun, kami masih berikan bonus kepada pekerja.

"Pada tahun lalu pula, staf saya sangat meriah dengan bonus. Hari raya dan hujung tahun pun dapat bonus. Mereka juga dapat bercuti ke luar negara, berjalan-jalan dan membeli belah," katanya.

Menurut Wawa, dia dan Aeril berasa amat kecewa dengan tuduhan yang dimuat naik blog terbabit.

"Sebenarnya, tiada siapa pun yang menuduh saya atau Aeril tetapi pihak blog itu yang membuat spekulasi sendiri. Merekalah sebenarnya yang mencetuskan fitnah ini.

"Pihak blog itu dengan yakin memuat naik gambar kami seolah-olah pihak berkenaan mengiyakan dakwaan syarikat kamilah yang dimaksudkan kerana tidak membayar gaji pekerja.

"Saya difahamkan blog terbabit sudah menerima surat 'letter of demand' (LOD). Perkara ini diuruskan oleh Aeril sebab dia rasa geram sangat.

"Aeril memang nak ambil tindakan kerana perbuatan pihak terbabit mencalarkan nama baik kami. Sebagai usahawan, kami tak boleh biarkan kalau imej kami dicalar. Aeril anggap perkara ini sangat serius," katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada empat orang cahaya mata ini turut memberitahu, dia tidak mahu hal seperti ini menjejaskan hubungannya bersama pihak media yang lain.

"Kepada pihak media terutamanya blogger yang saya kasihi, anda juga banyak menyokong kami. Jadi, kami tidak mahu perkara seperti ini merosakkan hubungan kita. Saya pun tak mahu perkara ini terjadi.


"Kepada blogger berkenaan, saya minta maaf kalau anda terasa dengan tindakan kami. Namun, kami tetap kena buat untuk memberi pengajaran bukan kepada dia sahaja tetapi juga kepada orang lain yang suka buat spekulasi sendiri," katanya.

Biarpun diuji dengan dugaan dan fitnah, Wawa bagaimanapun bersyukur apabila dapat melancarkan pelembap bibir yang menjadi produk terbaharu syarikatnya.

Terdahulu, heboh di laman Twitter pendedahan seorang pekerja yang memberitahu gajinya dipotong oleh majikannya yang juga pasangan popular hanya kerana gagal mendapat sasaran jualan bulanan.

Bagaimanapun, sebuah blog dikatakan memetik nama Wawa dan Aeril sebagai majikan yang dimaksudkan, sekali gus mencemar nama baik pasangan berkenaan.

 - HM Online