Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu yang baru menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini turut mengumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan.
Selain itu bekas Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilantik sebagai Bendahari Agung dalam mesyuarat yang diadakan kali pertama selepas pemilihan parti minggu lalu.
Dalam satu kenyataan media, parti itu turut mengambil ketetapan untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara.
"Umno turut menzahirkan kebimbangan sentimen permainan kaum dan agama yang terus menular. Justeru menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.
"Umno beriltizam untuk membantu kerajaan melalui wakil-wakil parti dalam kerajaan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat," katanya.
Sementara itu Umno juga mengumumkan 13 orang ahli MKT yang dilantik antaranya bekas Ketua Wanita Umno Tsn Sri Shahrizat Abdul Jalil, Setiausaha Pemuda Umno Datuk Hasmuni Hassan dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.
Sementara itu Jailani berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana kepercayaan yang diberikan.
"Saya dimaklumkan malam tadi mengenai pelantikan ini. Insya-Allah, saya akan bantu parti berdasarkan pengalaman yang ada sebelum ini," katanya.
Bagi Hasmuni, lantikan itu memberi makna parti memberi ruang kepada orang muda untuk memberi pandangan kepada pucuk pimpinan.
Katanya, dia akan berusaha untuk mengembalikan keyakinan orang muda terutama selepas selesai pemilihan parti, baru-baru ini.
Berikut adalah senarai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri:
Perlis
Pengerusi: Datuk Rozabil Abdul Rahman
Timbalan Pengerusi: Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya
Kedah
Pengerusi: Datuk Seri Mahdzir Khalid
Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
Perlis
Pengerusi: Datuk Rozabil Abdul Rahman
Timbalan Pengerusi: Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya
Kelantan
Pengerusi: Datuk Ahmad Jazlan Yaakub
Timbalan Pengerusi: Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh
Terengganu
Pengerusi: Datuk Seri Ahmad Said
Timbalan Pengerusi: Datuk Nik Dir Nik Wan Ku
Pulau Pinang
Pengerusi: Datuk Musa Sheikh Fadzir
Timbalan Pengerusi: Datuk Dr Ir Shaikh Hussein Mydin
Perak
Pengerusi: Datuk Seri Saarani Mohamad
Timbalan Pengerusi: Datuk Azian Osman
Pahang
Pengerusi: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Ab Hamid Nazahar
Selangor
Pengerusi: Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin
Timbalan Pengerusi: Datuk Johan Abd Aziz
Wilayah Persekutuan
Pengerusi: Datuk Seri Johari Abd Ghani
Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Dr Shafei Abdullah
Negeri Sembilan
Pengerusi: Datuk Seri Jalaluddin Alias
Timbalan Pengerusi: Datuk Hashim Rusdi
Melaka
Pengerusi: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Timbalan pengerusi: Datuk Rais Yasin
Johor
Pengerusi: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Ahmad Maslan
Sabah
Pengerusi: Datuk Seri Bung Moktar Radin
Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Panglima Abd Rahman Dahlan
-HarianMetro