MELAKA: Sepasang kekasih yang ditangkap khalwat di sebuah hotel di Bandaraya Melaka di sini hari ini, memberikan alasan menginap di situ semata-mata untuk berbincang berkenaan majlis perkahwinan mereka.
Namun, apa yang menghairankan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) adalah pasangan berusia 44 dan 36 tahun itu membuat tempahan bilik selama dua malam di hotel tersebut.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, mereka antara 12 individu dicekup dalam Op Medsos yang dijalankan bermula pukul 10 malam semalam hingga 4 pagi tadi.
Ujarnya, hasil soal siasat mendapati, kediaman pasangan itu terletak tidak sampai 10 kilometer (km) dari hotel berkenaan.
“Wanita tersebut merupakan seorang janda yang kematian suaminya, manakala kekasihnya merupakan lelaki bujang dan kedua-dua mereka adalah warga tempatan.
“Ketika disoal siasat, pasangan itu mengakui menempah bilik hotel bagi dua malam dengan alasan untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung pada Mei depan.
“Hasil risikan, seramai 15 anggota penguatkuasa telah melakukan serbuan dan enam pasangan berjaya dicekup dalam pemeriksaan di 12 hotel terkenal di Bandaraya Melaka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Che Sukri, sepasang lagi kekasih memberikan alasan si wanita terlalu letih dan tidak larat untuk memandu pulang ke rumah, selepas menghadiri majlis kenduri arwah keluarga teman lelakinya.
“Ketika diserbu pasangan ini mengambil masa 10 minit untuk membuka pintu dengan lelaki tersebut memberikan alasan berada dalam bilik berkenaan kerana ingin makan bersama teman wanitanya.
“Lelaki tersebut berusia 24 tahun, manakala teman wanitanya 28 tahun berasal dari Melaka,” jelasnya.
– UTUSAN