KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy‘ yang disiasat selama tiga hari berkaitan program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim membebaskan individu berusia 54 tahun itu selepas pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk lanjutan reman.
Selasa lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan agensi tersebut untuk menahan reman ahli perniagaan itu hingga hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili lelaki itu berkata, anak guamnya hadir hari ini untuk formaliti bagi membolehkan pihak SPRM memaklumkan tiada lanjutan reman.
Menurut peguam itu, Datuk Roy selanjutnya ditahan untuk siasatan satu kes lain melibatkan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
“Reman tidak disambung, pagi ini anak guam saya akan ke SPRM Kuala Lumpur bagi proses jaminan. Setakat ini, tiada maklumat bila akan dituduh di mahkamah.
“Anak guam saya kemudian akan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan pihak siasatan akan mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret di sana esok,” ujarnya ketika dihubungi wakil media di sini.
Laporan media Selasa lalu menyebut, Datuk Roy menyerah diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 2.30 petang, sebelum ditahan pada 3 petang.
Sehari sebelumnya, akhbar ini melaporkan lelaki berkenaan yang beralamat di Kuantan, Pahang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu atas kesalahan menerima rasuah.
Ahli perniagaan itu sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
– UTUSAN