JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia menjadi salah seorang peniaga kain kafan mewah yang dijual pada harga 750,000 rupiah (RM219) semeter, lapor laman berita Suara.com.
Penduduk di daerah Jeneponto, wilayah Sulawesi Selatan memanggil kain kafan itu sebagai Tope.
Kain itu bukan sahaja digunakan untuk membalut jenazah, malah boleh menjadi bahan untuk menghasilkan pakaian seperti jubah, tudung, beg dan kipas.
“Harganya mencecah 1.7 juta rupiah (RM498) apabila sudah menjadi baju. Ramai pembelinya adalah daripada anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR),” kata seorang tukang kain kafan bernama Suryani.
Menurut Suryani, kain itu diperbuat daripada kapas sebenar yang dipintal menjadi benang.
“Proses penghasilannya mengambil masa dua bulan untuk menjahit satu pakaian, jadi ia dijual mahal,” katanya.
Sebelum ini, kain kafan tersebut digunakan untuk membungkus jenazah keturunan bangsawan. Namun kerana harganya yang mahal, orang ramai beralih kepada kain putih.
Di Jeneponto, kain kafan itu hanya dihasilkan di wilayah Kelara. Hanya kira-kira 50 wanita yang dilatih untuk menjadi tukang.
Suryani ingin melestarikan kain kafan tersebut kerana ia hampir ketinggalan zaman.
– Agensi