Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahathir beri Anwar 7 hari, atau saman


Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang dikeluarkan ketika berucap di Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada 18 Mac lalu.

LOD itu disediakan Tetuan Rafique dan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya.

Mahathir dalam sidang medianya berkata notis tuntutan itu dibuat bagi menuntut Anwar yang juga Presiden PKR menarik balik dakwaan yang dibuat terhadap bekas ahli Parlimen Langkawi itu.


“Saya telah ambil tindakan menuntut Anwar sebagai perdana menteri menjelaskan tentang tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap saya dalam kenyataannya beberapa kali tetapi khusususnya dalam mesyuarat partinya, PKR.

“Saya beri masa tujuh hari untuk dia tarik balik.

“Tapi kalau tujuh hari tak jawab maka saya bebas untuk ambil tindakan lain,” katanya di Putrajaya.

Mengulas lanjut Mahathir berkata, biarpun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.

"Tuduhan dilempar terhadap diri saya iaitu saya ada berbilion ringgit dan agih untuk keluarga saya, anak saya dan sebagainya dan saya adalah seorang 'scoundrel' (penyangak).

"Ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap diri saya, ia adalah satu fitnah, melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara dan saya tidak bayar cukai.

"Banyak tuduhan dibuat dalam ucapan ini, walaupun saya dulu, biasa dengar dia kata lebih kurang macam ini, tapi waktu itu dia bukan (perdana menteri), sekarang dia perdana menteri dan perdana menteri mesti bertanggungjawab, tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas," katanya.

Jelas Mahathir lagi, dia membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil.

"Ucapan itu juga dilapor media dan sosial media dan nama saya diguna, jelas sekali ucapannya adalah satu fitnah terhadap diri saya dan bukan orang lain, kerana sayalah orangnya yang berkuasa selama 22 tahun campur 22 bulan, jadi perdana menteri keempat dan ketujuh.

"Tujuannya untuk memburukkan nama saya dengan tuduhan tidak berasas, sebab itu saya minta untuk tarik balik dan tunjuk bukti," katanya.

Mahathir mendakwa kenyataan Anwar itu dibuat sehari sebelum himpunan pro-Melayu dilancarkan bagi menghalang acara berkenaan.

"Jadi jelas bahawa dia cuba menghalang proklamasi ini dan (kami) tidak dapat lancar proklamasi ini kerana dihalang oleh pihak berkuasa.

"Proklamasi ini bukan berbaur perkauman, tidak menuduh kaum lain berkenaan apa yang terjadi kepada orang Melayu, sebaliknya kita tuduh pemimpin Melayu sendiri yang menyebabkan orang Melayu menghadapi banyak masalah.

"Ia tidak boleh dikatakan perkauman dan kononnya saya nak timbulkan perasaan benci orang Melayu terhadap kaum lain. Kita semua berasa benci dengan pemimpin Melayu sendiri yang merosakkan masa depan orang Melayu," katanya.

Semalam Dr Mahathir dalam satu kenyataan menuntut Anwar mengemukakan bukti dia membolot kekayaan untuk diri dan keluarganya.

Mahathir berkata, dakwaan tanpa disertakan dengan bukti yang jelas, tidak boleh diterima sebagai perkara benar, selain adalah fitnah.

-Malaysiakini