Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Muhyiddin gesa SPRM siasat dana politik parti Anwar dan Zahid pula


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung sumber dana politik yang telah diperoleh masing-masing dalam menerajui PKR serta UMNO selama ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gesaan membuat itu bagi memastikan siasatan sumber dana politik dibuat secara adil dan sama rata dan bukan beliau seorang sahaja yang patut didakwa di mahkamah.

“Oleh kerana kedudukan saya sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), saya dilihat sebagai pencabar utama kepada Anwar dan Zahid yang tubuhkan kerajaan. Sebab itu, saya jadi mangsa pendakwaan politik terpilih dan terancang.

“Jadi, saya nak cabar SPRM supaya siasat Anwar dan Zahid. Mereka berdua adalah Presiden PKR dan UMNO. Tanya dia, siasat dia. Dari mana punca pendapatan sumber PKR dan UMNO dapat, dari mana sumber DAP dan Pakatan Harapan (PH)?,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini.

Beliau turut mempersoal sama ada mereka  menerima dana politik seperti Bersatu.

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO adalah parti utama dalam Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri pun dari UMNO sebelum ini.


“PKR pula ketuai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Apakah PKR dan DAP tidak menerima sumbangan dana politik dari mana-mana ahli perniagaan?” soalnya.

Beliau juga hairan dengan sikap SPRM yang belum membuat siasatan terhadap parti-parti lain.

“Ada juga laporan dibuat ahli parti kita sendiri, minta SPRM siasat sumber parti politik lain, mereka dah buat tak belum?

“Tak buat lagi, yang disiasat hanyalah Bersatu dan yang didakwa adalah saya sebagai Presiden. Parti lain dikecualikan daripada siasatan dan pendakwaan, bukankah ini satu pendakwaan politik terpilih,” katanya. 

– UTUSAN