Selepas gagal memenangi kerusi ketua Wanita Umno Bagan Datuk, Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan yang berlangsung semalam.
Dia mendakwa pelanggaran etika itu membabitkan Perkara 4, Tataetika Pemilihan Umno 2023, berkaitan pengaruh tidak wajar.
“Whatsapp pada malam pemilihan 10 Mac daripada seorang yang telah dikenalpasti. Manipulasi, tipu helah, mendorong dan mengganggu.
"Perjuangan saya belum lagi tamat. Saya tidak kalah cuma belum lagi menang.
"Undi saya 115/268 dan yang 'masih menang' 133/268. Ini sudah dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan Umno," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Anak presiden Umno itu turut memuat naik tangkap layar dipercayai perbualan berkenaan di aplikasi WhatsApp.
Antara lain ia mengandungi ayat berbentuk arahan, meminta supaya perwakilan Wanita Umno di bahagian itu menyokong penyandang Ketua Wanita Umno Bagan Datuk, Zarozatin Isa.
Naib ketua pemuda ditentukan undi 8 bahagian
Sementara itu, saingan sengit bagi merebut jawatan naib ketua Pemuda Umno akan ditentukan oleh undi lapan bahagian.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Shahrir Samad, berkata kelebihan calon yang mendahului bagi jawatan itu hanya dibezakan lima undi.
"Tapi yang tinggal lapan bahagian (belum disahkan keputusan), kita tak tahu lapan bahagian ini ke mana (sokong calon mana).
"Jadi kita tak boleh nak sahkan lagi," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur, malam ini.
Hari ini Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah dilapor memenangi jawatan naib ketua pemuda Umno selepas mengatasi pencabarnya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.
-Malaysiakini