Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ramai kawan lari sejak bapa tak jadi PM, keluh Dafi


SEJAK bapanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, penyanyi Dafi memberitahu ramai mula menjauhkan diri.

Dafi atau Gaddafi Ismail Sabri, 35, bagaimanapun berkata, dia sudah menjangkakan hal tersebut kerana menyedari ada di antara mereka kembali mendekatinya untuk tujuan tertentu.

"Masa ayah jadi Perdana Menteri, punya ramai hantar mesej sampai saya meluangkan masa dari pukul 5 petang sampai 9 pagi esoknya untuk membalas DM (direct message) yang dihantar.

"Tak dibalas nanti dikatakan sombong pula. Apatah lagi orang datang bukan cara kurang ajaar, jadi saya layankan sahaja.


"Saya dah jangka pun perkara ini akan berlaku, bila dah tak ada (bapa sebagai Perdana Menteri) semua hilang begitu sahaja," katanya kepada mStar.

Mengimbau saat Ismail Sabri diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-9 pada Ogos 2021, Dafi berkata, ada di antara mereka yang sudah bertahun-tahun tidak berhubung kembali bertanya khabar.

Paling mengecewakan kata Dafi, ada di antara mereka tanpa segan silu menghantar kertas kerja dengan harapan dia dapat membantu mereka.

"Ada yang hantar proposal waktu-waktu itu juga, yang dah bertahun-tahun tak dengar cerita itu.

"Saya cerita ini hanya berkongsi sahaja... Tidak pula saya terasa hati atau sebaliknya sebab saya memang ada orang-orang yang sentiasa ada dalam situasi susah dan senang.

"Jadi mereka yang come and go ini saya tak kisah sangat," katanya.

Tidak hanya kehilangan rakan, Dafi memberitahu tawaran kerja yang diberikan kepadanya juga lesap begitu sahaja tanpa sebarang sebab tertentu.

Bagaimanapun kata Dafi, dia tidak mahu terlalu berfikir mengenainya kerana menganggap sudah bukan rezekinya.

"Tawaran kerja bukan tiada langsung, masih ada... tapi ada juga yang sudah dipersetujui tetapi dibatalkan begitu sahaja.

"Tiba-tiba mereka beritahu tak jadi sedangkan sebelum itu beria-beria beri tawaran. Saya tak mahu persoalkan sangat kerana menganggap sudah tiada rezeki," jelasnya.

Sementara itu, Dafi menegaskan dia tidak pernah sekali pun mengambil kesempatan atas jawatan disandang bapanya.

Ini kerana katanya, dia tidak pernah mencampuri urusan politik bapanya kerana menghormati peminat yang mungkin mempunyai fahaman berbeza dalam hal tersebut.

"Orang selalu kata saya beruntung kerana anak kepada Perdana Menteri. Bukan hendak cakap besar tetapi kalau saya guna kedudukan ayah, mungkin kedudukan saya bawah sedikit daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Tapi ayah saya bukan jenis begitu. Dia pun bermula dari bawah. Maknanya dia tahu rasa puas itu datang apabila semua itu hasil titik peluh sendiri.

"Kami adik-beradik tak dapat apa-apa keistimewaan pun," jelasnya.

Malah kata Dafi, dia pernah memecah tabung simpanannya untuk digunakan menampung kehidupan ketika tiada tawaran nyanyian atau pun lakonan.

"Mereka tak tahu situasi sebenar malah waktu saya tiada sebarang tawaran, saya pernah pecah tabung duit syiling dan bawa ke bank untuk ditukar buat belanja sampai hujung bulan.

"Ayah tak bagi duit pun. Saya pula bukan jenis meminta-minta. Memang malu apabila dah besar pun masih mengharapkan ibu bapa," katanya. 

− Mstar