Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Saya tak mampu bayar denda' kata Muhyiddin


KUALA LUMPUR - "Saya mungkin tidak mampu, kalau tidak bayar (denda) apalah akibatnya," kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Pagoh itu akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan ketujuh menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri menerima sumbangan dan dana politik.

Muhyiddin berkata, dua hari lepas beliau telah menghadapi enam pertuduhan yang sama di mahkamah.

Katanya, jika didapati bersalah beliau akan dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai sumbangan yang diterima Bersatu.

"Ini pertama kali dalam sejarah presiden parti didakwa kerana menerima sumbangan dan ia tidak pernah berlaku.

"Parti politik tidak jalankan perniagaan untuk jana pendapatan. Mana kita ada bisnes dan kesemua adalah sumbangan daripada ahli serta penyokong parti," katanya ketika berucap dalam ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM di sini pada Ahad.

Tambah Muhyiddin, tanpa sumbangan sudah tentu agak sukar untuk sebuah parti menjalankan fungsinya dalam sebuah negara demokrasi.

"Yang tahu perjuangan kita berlandaskan kebenaran akan ikhlas membantu. Lagipun, saya telah menetapkan syarat setiap sumbangan kepada Bersatu mesti dimasukan ke akaun bank Bersatu bukan bank saya.

"Apabila terima sumbangan kecil atau besar mesti simpan dapat akaun parti. Akaun parti pula akan diaudit oleh juruaudit bertauliah," jelasnya.


Pada Jumaat, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

-Malaysia