SHAH ALAM: Seorang pensyarah sebuah universiti awam berpangkat profesor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini dipercayai menyeleweng wang berjumlah RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan.
Profesor bergred Jusa C yang memegang jawatan timbalan pengarah di universiti berkenaan ditahan kira-kira pukul 3.30 petang tadi ketika hadir ke Pejabat SPRM Selangor untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, pensyarah berusia 40-an itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada Ogos 2021 dan suspek dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan program berkenaan ke dalam akaun bank peribadi miliknya sendiri.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ujar beliau, suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman.
– UTUSAN