KUALA LUMPUR - Pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Selatan dibuat berdasarkan penilaian Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), terhadap rekod perkhidmatan baik pesawat itu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pesawat itu juga digunakan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.
"Pertimbangan kita untuk memperolehi aset FA-50 ini berasaskan kepada rekod perkhidmatan. Kita tak mahu membeli sesuatu yang tiada rekod.
"Kita tak mahu anggota tentera kita menjadi sebagai makmal percubaan. Kita guna aset yang ternyata mempunyai kemampuan dan rekod servis yang baik,” katanya menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), yang ingin tahu justifikasi kerajaan berhubung pembelian pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Selatan.
Perjanjian pembelian pesawat tempur bernilai RM4.08 bilion itu dibuat bersama pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan iaitu Korea Aerospace Industries Co (KAI) Februari lepas, dengan proses penghantaran pesawat berkenaan dijangka bermula pada 2026.
Terdahulu, menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkenaan kebolehoperasian radar TUDM di sepanjang kawasan Laut China Selatan, Mohamad berkata, keupayaan pertahanan udara negara melalui Pangkalan TUDM di Labuan, akan dipertingkat dengan rancangan penggantian radar pertahanan udara jarak jauh.
"Kita akan menggantikannya dengan sistem radar baharu yang boleh beroperasi 100 peratus menjelang hujung tahun ini,” katanya.
- Bernama.