Kerajaan menjalankan siasatan terhadap kemungkinan wujud pihak dalam negara berhubung tuntutan waris kesultanan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Jelasnya perkara itu - jika benar - tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan boleh kenakan hukuman gantung jika disabitkan bersalah.
"Kita nak siasat siapa yang kemungkinan terbabit dalam negara, siapa yang bagi 'kekuatan' yang agak pelik. (Tuntutan) Tak sepatutnya berlaku... kalau nak tuntut sepatutnya 2013. Tapi tak tahulah kalau ada permainan dalaman.
"Buat masa ini, kerajaan tidak boleh mendedahkan strategi Malaysia bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kita," katanya.
Pada masa sama Azalina menambah terdapat percanggahan input, maklumat, pandangan, dan kedudukan dalam mengendalikan isu tuntutan Sulu tersebut.
Katanya lagi ada pegawai kanan kerajaan yang membuat keputusan tanpa kebenaran kabinet walaupun ia membabitkan hal ehwal kedaulatan Negara.
"Perkara sebegini wajar dibawa kepada pertimbangan jemaah menteri.
"Saya percaya prinsip tanggungjawab bersama dan tanggunjawab kabinet kepada parlimen melalui Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu wawancara bersama media.
Mahu ugut kerajaan
Pada 9 Mac lalu kerajaan mengumumkan Azalina akan menjadi wakil kerajaan ke Eropah - termasuk ke Perancis - bagi mengendalikan kes tuntutan kumpulan Sulu ke atas beberapa aset milik Malaysia.
Menteri Luar Zambry Abd Kadir berkata dia juga mungkin turut terbabit dalam pengendalian kes itu bersama Azalina dalam masa terdekat.
Zambry berkata tindakan tersebut merupakan antara langkah ke hadapan diambil Putrajaya ekoran ada pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu mahu mengambil kesempatan menggunakan kepakaran mereka dalam melaksanakan tuntutan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata dia melihat tindakan kumpulan terbabit sebagai satu ugutan untuk membolehkan mereka mendapatkan kembali bayaran dari kerajaan.
Katanya, kerajaan tidak akan tunduk kepada permainan kumpulan berkenaan dan akan berusaha untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli.
" (Tuntutan itu) dia bagi kita kelam kabut. (Mengikut) Bacaan saya dia nak kita bagi duit untuk bagi selesai (tuntutan), tapi kita nak lawan.
"Orang Sabah saja tahu tentang mereka. Saya sudah pergi Sabah jemput wakil kerajaan mereka, kita akan lawan, dan saya tak akan benarkan sesiapa menggugat kedaulatan negara.
"Saya tak akan benarkan orang guna taktik kotor untuk dapatkan duit," katanya lagi.