MELAKA – Pemimpin kanan Melaka yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah seks, Datuk Rais Yasin menafikan melakukan perbuatan itu, malah sedia membantu pihak berkuasa menyiasat tuduhan tersebut.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri itu juga menyifatkan dakwaan berkenaan adalah untuk menjatuhkan karier politiknya kerana ia telah bermula ketika pemilihan UMNO pada Mac lalu.
Bagaimanapun jelasnya, ketika itu beliau tidak mengendahkan dakwaan tersebut kerana perlu memberi fokus dalam pertandingan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang dimenanginya pada 18 Mac lalu.
“Ini semua (video rasuah seks) adalah fitnah yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasi saya beserta perbualan WhatsApp sedangkan saya tak pernah beri rasuah secara seks atau apa-apa pada mana-mana individu.
“Ada juga yang kata akan buat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah seks ini dan Insya-Allah kalau ada siasatan oleh pihak berkuasa, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan dakwaan mengaitkan namanya sebagai Exco negeri Melaka yang terlibat dalam rasuah seks sejak Selasa lalu.
Tangkap layar FB pemilik akaun yang tular mengenai dakwaan terhadap Rais Yasin |
Mengulas lanjut, Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, beliau bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab mencipta fitnah itu.
“Siapa sahaja yang reka (fitnah) ini saya juga akan meneliti dan melihat bagaimana untuk saya pertahankan maruah diri dan keluarga saya namun saya tidak ingin menuduh sesiapa.
“Kita kena ingat, pemimpin datang dan pergi sama ada muda atau veteran. Jawatan ini tak kekal, jadi saya harap semua dapat hentikan fitnah politik yang tidak baik ini…yang menang bantulah rakyat, yang kalah tidak kalah semua dan akan ada masa lebih baik untuk mereka,” ujarnya.
Pada pemilihan UMNO 18 Mac lalu, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.
Beliau menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan majoriti empat undi selepas memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali mendapat 278 undi.
– MalaysiaGazette.