KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, takut terhadap usaha dibuat UMNO untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
Dakwanya, kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang, yang mendakwa Kerajaan Perpaduan akan runtuh jika Najib diberi pengampunan, menunjukkan mereka sebenarnya takut UMNO bertambah kuat melalui gabungan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Lim Kit Siang orang seterusnya mengatakan Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib Razak diberikan pengampunan diraja. Mereka takut jika Najib bebas. Dia ancaman kepada PH dan Anwar.
"Mereka takut, UMNO tambah kuat melalui gabungan Najib dan Ahmad Zahid. Apatah lagi Ahmad Zahid makin kukuh dalam UMNO," katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat 7 April lalu, memutuskan untuk menghantar memorandum bagi memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.
Puad turut mengingatkan Kit Siang, bahawa DAP adalah punca kerajaan 22 bulan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang pada Februari 2020 lalu.
"DAP adalah alasan utama (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin) buat 'Langkah Sheraton. Sebenarnya DAP boleh jadi punca Kerajaan Perpaduan runtuh. Bukan Najib atau Zahid.
"Bukan mudah UMNO betulkan dasar 'No DAP, No Anwar'. Gelagat DAP dan menterinya umpama bom jangka," katanya.
Terdahulu, Kit Siang dalam kenyataannya, memberi amaran Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja.
Menjelaskan pendapatnya itu, Kit Siang melihat masalah yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini lebih kepada bersifat dalaman daripada luaran.
Kit Siang juga percaya pengampunan Najib sekarang, tidak akan menguntungkan UMNO sama sekali, sebaliknya hanya akan menguntungkan PAS dan BERSATU.
TANDATANGAN PETISYEN DI SINI |
-