Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

GSMA desak kerajaan benarkan syarikat telco lancar 5G sendiri



Kuala Lumpur – Global System for Mobile Communications Association (GSMA) mendesak kerajaan untuk membenarkan operator rangkaian mobil (MNO) untuk melancarkan rangkaian 5G mereka bagi merangsang adaptasi teknologi di Malaysia. 

Di dalam temubual, Ketua Asia Pasifik Julian Gorman juga berkata Putrajaya perlu bersifat “berkecuali teknologi” bagi membolehkan MNO memberi perkhidmatan kepada pengguna tanpa sekatan atau permintaan dalam pemilihan peralatan dan infrastruktur. 

Desakan melalui media ini masih diteruskan walaupun Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil telah menegah sebarang bentuk lobi melalui media, dan menekankan bahawa usaha sedemikian adalah tidak dilayan dan harus dihentikan.


Gorman turut berkata “Petunjuk utama kejayaan 5G perlu terletak pada inovasi dan kadar guna pakai berbanding liputan populasi,” katanya. 

Gesaan Gorman ini bagaimanapun tidak melihat kepada konteks sosio-ekonomi Malaysia yang lebih luas. 

Satu faktor utama mengapa wujud kelewatan dalam pelaksanaan 4G dan 5G di Malaysia adalah kerana keengganan MNO untuk melabur dalam pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi bagi meningkatkan liputan di kawasan terutamanya di luar bandar. 

Memberikan lebih banyak kebebasan dan pilihan kepada MNO bukan jaminan inovasi dan adaptasi teknologi 5G di Malaysia. 

Malah, Digital Nasional Berhad (DNB) sudah berulang kali menjelaskan yang MNO masih diberikan kebebasan untuk mewujudkan produk nilai tambah bernilai tinggi 5G sebagai saluran perolehan pendapatan baharu mereka. 

Yang ‘diambil alih’ oleh DNB adalah pelaksanaan dan pemborongan rangkaian 5G kerana berdasarkan pengalaman kelewatan pelaksanaan 4G, MNO tidak akan bertindak selagi mana ia tidak memenuhi tahap permintaan komersial tertentu sehingga boleh melewatkan pelaksanaan 5G sehingga ke 2024. 

Menerusi DNB, pelaksanaan 5G sudah bermula seawal 2021 lalu. 

Matlamat pembangunan digital Malaysia juga mempunyai kepentingan awam yang boleh bercanggah dengan sasaran komersial MNO. 

Setelah berpuluh tahun pelaksanaan 2G, 3G dan 4G yang diberikan sepenuhnya kepada MNO, bukan sekadar soal liputan, tetapi soal inovasi dan kadar guna pakai rangkaian terutama di kawasan luar bandar Semenanjung, Sabah dan Sarawak terus rendah. 

GSMA bukan asing dalam pendiriannya yang nampak “berkecuali”, tetapi sebenarnya sering didorong oleh pelbagai kumpulan pelobi. 

Organisasi itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan mendesak Eropah memelihara Sekuriti Rangkaian dan Persaingan dalam Bekalan Infrastruktur Telekomunikasi. 

Kenyataan itu memberi amaran yang Eropah boleh kerugian sehingga US$62 bilion sekiranya vendor dari China diharamkan terlibat dalam pelaksanaan 5G. GSMA tidak mengambil kira soal keselamatan nasional dalam melobi isu “kebebasan teknologi” ini. 

Isu keselamatan rangkaian bukan soal kecil, Jerman misalnya terpaksa melakukan penggantian komponen rangkaian telekomunikasi yang berasal dari China disebabkan wujud kebimbangan risiko keselamatan yang berasas. 

Dengan mengambil kira isu kelewatan pelaksanaan 4G, harga dan kelembapan internet di Malaysia, persoalannya yang timbul sebenarnya apakah inovasi dan adaptasi dibuat MNO yang selari dengan kepentingan awam? 

Disunting dari FMT.