China Minta Bajet Indonesia Untuk Jamin Pinjaman Bina HSR Jakarta-Bandung, Jokowi Terus Rugi
Kuala Lumpur – Jumaat, 14 April
China dilaporkan meminta Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) sebagai jaminan untuk pinjaman tambahan sebanyak AS$560 juta (RM2.4 bilion) bagi pelaksanaan projek Kereta Api Laju (HSR) Jakarta-Bandung.
Perkara itu didedahkan Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi, Luhut Panjaitan pada Isnin lepas.
Bagaimanapun, menurut Luhut, tuntutan China itu ditolaknya dan beliau mengesyorkan jaminan pinjaman dilakukan PT Penjaminan Infrastuktur Indonesia (Persero).
Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APNB) adalah bajet tahunan Indonesia yang diluluskan setiap tahun oleh Dewan Perwakilan Rakyat.
Bajet 2023 Indonesia bernilai 3.06 trilion Rupiah (AS$ 200.73 bilion) diluluskan pada September 2022.
Luhut memberikan alasan “prosedur panjang” untuk mendapatkan kelulusan Dewan Perwakilan bagi menggunakan bajet Indonesia sebagai jaminan pinjaman HSR.
“Ada masalah tapi kalau China tetap mahukan APBN (sebagai jaminan), ia akan mengalami prosedur panjang. Ia sudah diberitahu dan mereka sedang memikirkannya,” katanya dipetik laporan CNN Indonesia.
Selain permintaan untuk menggunakan bajet Indonesia sebagai jaminan pinjaman tambahan, China juga hanya menurunkan kadar faedah daripada 4% kepada 3.4%, walaupun Indonesia mahukan kadar itu diturunkan sehingga 2%, iaitu kadar faedah pinjaman terdahulu.
Indonesia pertama kali membuat pinjaman dari China Development Bank untuk projek tersebut pada 2017 berjumlah AS$4.5 bilion, dengan pentadbiran Jokowi berikrar akan membayar semula pinjaman dalam tempoh 40 tahun dengan kadar faedah 2%.
Kos awal HSR Jakarta-Bandung sebanyak AS$6.06 bilion kini melonjak hampir mencecah AS$8 bilion.
Pentadbiran Presiden Indonesia Joko Widodo atau mesra dikenali sebagai Jokowi menganugerahkan kontrak pembinaan HSR Jakarta-Bandung kepada PT Kereta Cepta Indonesia-China (PT KCIC) yang 60% kepentingan dipegang perusahaan negara Indonesia dan 40% lagi dipegang China Railway International Group, pada September 2015.
Sebuah lagi syarikat Jepun turut bersaing membida kontrak itu tetapi tidak dipilih, mereka menawarkan pinjaman dengan kadar faedah tahunan 0.1% dan jaminan kerajaan Indonesia yang sekurang-kurangnya 50% pinjaman diselesaikan dalam tempoh 40 tahun.
Konsortium ini dianggap banyak pihak sebagai pendahulu pelaksana HSR Jakarta-Bandung kerana mereka sudah melakukan kajian kebolehlaksanaan selama tiga tahun di sepanjang laluan projek.
Kesungguhan Jokowi untuk melaksanakan HSR ini terserlah apabila beliau merasmikan majlis pecah tanah projek pada 2016, walaupun ketika itu kerajaannya sendiri belum mengeluarkan sebarang permit pembinaan.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek itu diheret pelbagai masalah perolehan tanah, kesan alam sekitar dan kekurangan buruh kesan pandemik Covid-19 yang menaikkan jumlah kos keseluruhan projek.
Keputusan pentadbiran Jokowi untuk memindahkan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Nusajaya di Kalimantan Timur turut menimbulkan cabaran kepada kemampuan Indonesia membayar balik pinjaman China.
Kajian pada 2017 menjangkakan tempoh pulang modal adalah 26 tahun dengan jumlah penumpang harian seramai 61,000 orang.
Bagaimanapun, pemindahan 1.5 juta penjawat awam dan keluarga mereka ke Nusantara menurut kajian PT KCIC menyebabkan hanya 31,000 orang penumpang akan menggunakan HSR Jakarta-Surabaya setiap hari dan Indonesia memerlukan tempoh 40 tahun untuk balik modal, situasi yang akan menimbulkan cabaran membayar balik pinjaman kepada China dan perolehan keuntungan mengikut jangkaan.
HSR Jakarta-Surabaya sejauh 142 kilometer akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua kota terpadat Indonesia itu daripada 3 jam kepada 40 minit. Ia akan menjadi laluan kereta api laju pertama di Asia Tenggara dengan kelajuan mencecah 350 km sejam.
China meletakkan projek ini antara projek utama dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang sedang giat dilaksanakannya.
Disunting dari: CNN Indonesia