Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jokowi mangsa terbaru 'jerat hutang' China


Pada 2013, China mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang menyalurkan berbilion dolar untuk pembinaan projek infrastruktur di seluruh dunia setiap tahun. 

BRI dianggap banyak pihak sebagai permulaan kepada lonjakan pengaruh dan kuasa China di peringkat global. 

Menurut kajian Council on Foreign Affairs, setakat Mac 2021, 139 buah negara di dunia sudah menyertai BRI, ia bersamaan dengan 40% KDNK dunia.

 Pelaburan China dalam BRI pula sudah hampir mencecah AS$1 trilion, menurut Kementerian Luar China. 


Tetapi pembiayaan pelaksanaan projek di bawah BRI kemudian terheret kontroversi dengan pelbagai skandal korupsi, kesan alam sekitar dan pelanggaran hak pekerja. 

Pengkritik BRI turut menyifatkan China membuat “jerat hutang” kepada penerima dana, apabila bertindak sebagai penyelamat dengan memberi lebih banyak hutang kepada negara yang gagal menjelaskan pinjaman awal yang dibuat untuk pembinaan projek di bawah BRI. 

Tuduhan ini dinafikan Menteri Luar China Qin Gang yang menyifatkan BRI memberi “faedah kepada awam” dan menyalahkan Amerika Syarikat kerana peningkatan kadar faedah di negara-negara membangun. 

Sri Lanka meminjam dana BRI sebanyak AS$ 361 juta untuk pembinaan Pelabuhan Hambantota pada 2008. Dan pada 2016, Sri Lanka gagal membayar pinjaman sehingga menyebabkan pelabuhan itu diserahkan kepada China, tindakan yang menimbulkan kebimbangan keselamatan dan sekuriti nasional. 

Walaupun begitu, krisis kewangan dan ekonomi di Sri Lanka bukan disebabkan hanya kerana pinjaman China. Negara itu bergelut dengan krisis politik dan skandal korupsi berpanjangan serta mempunyai pelbagai hutang dengan pihak luar yang lain. 

Pada 2015, Uganada pula meminjam AS$ 200 juta daripada Bank Eksport-Import (Exim) China untuk memperluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Entebbe.
 
Bagaimanapun perjanjian itu kemudiannya didapati berat sebelah dengan kajian dikeluarkan AidData mengecam Exim China kerana mengenakan lebih 10 klausa ketat yang dianggap serupa menggadaikan kedaulatan Uganda.
 
Perjanjian pembiayaan selama 20 tahun itu masih berkuatkuasa kerana kerja pembinaan sudah bermula sejak 2016 lagi dan Uganda kini sedang berunding untuk mendapatkan terma yang lebih adil. 

Di Pakistan pula, kadar faedah pinjaman BRI untuk pembinaan Empangan Hidroelektrik Karot mencecah 5.1%, berbeza dengan kadar faedah BRI lain sekitar 4.2%. 

Terdapat 26 projek dirancang dalam Koridor Ekonomi China-Pakistan, dan wujud kebimbangan tentang kemampuan Pakistan membayar semula hutang luarnya yang berjumlah AS$90.12 juta dengan AS$24.7 juta atau 27% hutangnya adalah dengan China. 

Indonesia yang kini sedang bekerjasama dengan China untuk pembinaan projek Kereta Api Laju (HSR) Jakarta-Surabaya pula berhutang dengan China sebanyak AS$20.78 bilion pada Februari 2022. 

China adalah pemiutang terbesar keempat Indonesia selepas Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun. Dalam tempoh Februari 2022, hutang China naik 0.75% berbanding bulan sebelumnya, sedangkan hutang Indonesia dengan Singapura turun 0.75%, AS turun 0.22% dan Jepun turun 0.91%. 

Pada Mac 2022, jumlah hutang Indonesia kepada China naik kepada AS$ 22.01 bilion. 

Kerajaan Indonesia kini sedang berunding dengan China untuk mendapatkan pinjaman tambahan sebanyak AS$560 juta (RM2.4 bilion) untuk menampung kenaikan kos pembinaan HSR Jakarta-Surabaya. 

Negara itu sudahpun membuat pinjaman sebanyak AS$4.55 bilion dengan China Development Bank pada 2017 bagi membiayai pembinaan projek tersebut. 
 
Antara tahun 2008 hingga 2021, China membelanjakan AS$ 240 bilion untuk menyelamatkan 22 negara yang “secara eksklusif” adalah penghutang dalam inisiatif BRI. 

Situasi negara pemiutang memberi lebih banyak hutang kepada negara penghutang bukanlah luar biasa di peringkat antarabangsa, Amerika Syarikat sendiri pernah melakukannya selepas Perang Dunia Kedua dan Krisis Hutang Amerika Latin pada 1980-an. 

Tetapi yang menjadi kebimbangan ramai pakar ekonomi adalah maklumat pinjaman diberikan China adalah sulit dan tidak didedahkan kepada umum. 

Bank pusat negara itu juga tidak menerbitkan sebarang data rasmi yang menyukarkan analisis kesan pinjaman kepada kedudukan kewangan negara terlibat dan dunia, umumnya. 



Disunting dari: CNN Indonesia