Kulai: Rangka mayat seorang wanita ditemukan dalam sebuah beg bagasi yang ditinggalkan di dalam kiosk dekat perhentian bas terbiar di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, rangka mayat itu disahkan sebagai seorang wanita berusia dalam lingkungan 25 tahun ke atas dan dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh lebih dua minggu.
"Hasil bedah siasat dijalankan Pakar Patologi Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dari jam 11 pagi hingga 2.30 petang tadi mendapati terdapat kecederaan di bawah kulit kepalanya.
"Kita masih menunggu siasatan makmal dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan awal mengenai penemuan rangka mayat dalam bagasi dekat perhentian bas Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) berhadapan bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu, kira-kira jam 1.50 petang semalam.
Katanya, pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati rangka mayat berkenaan sukar untuk dijustifikasi jantina, umur dan tempoh kematian.
"Keadaan mayat sudah reput lebih 50 peratus menerusi pandangan mata kasar dan sudah berulat. Rangka mayat itu kemudian dihantar ke HSA untuk bedah siasat," katanya.
Beng Yeow berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Sivachandran di talian 016-2850204 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai," katanya.
video:
-HarianMetro