Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Perlantikan kontraktor kedua 5G untuk kepentingan nasional diragui -Penganalisis


KUALA LUMPUR: Penganalisis berpandangan yang kepimpinan Malaysia perlu menentukan sama ada tindakan semua pihak yang terlibat dalam kemelut pelantikan kontraktor kedua 5G adalah demi kepentingan sebenar negara. 

Bob Fox, pengerusi Kumpulan Digital dan ICT daripada Kamar Perdagangan Asing Thailand dan Persatuan Perniagaan dan Perdagangan Eropah meluahkan kebimbangan keselamatan siber yang berkait rapat dengan kepentingan keselamatan negara. 
 
“Pembuat dasar perlu membuat keputusan sama ada semua pihak terlibat bertindak atas kepentingan utama negara,” katanya, dipetik laporan Channel News Asia. 

Para pemerhati turut berpandangan yang sekiranya pasaran 5G negara memilih pembekal kedua, ia boleh menyesakkan lagi pasaran telekomunikasi dalam negara. 


Pasaran telekomunikasi Malaysia adalah antara yang paling sesak di rantau Asia Tenggara kesan daripada Dasar Penswastaan yang dilaksana ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, yang pada hujung 1990-an memutuskan untuk memecahkan monopoli Telekom Malaysia dan memberikan lesen telekomunikasi mudah alih kepada syarikat swasta. 

Pada masa sekarang, Malaysia mempunyai enam syarikat telekomunikasi dengan tiga lagi entiti yang membekalkan kemudahan jalur lebar kepada pemain pasaran telekomunikasi negara. 

Kebimbangan ini semakin lantang disuarakan selepas pentadbiran semasa diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk melantik pembekal kedua rangkaian 5G Malaysia bagi memecahkan monopoli kontrak yang diberikan kepada Ericsson.  

Pemecahan monopoli 5G yang kini dipegang oleh Digital Nasional Berhad (DNB) adalah agenda utama Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar dan Kementerian Digital dan Komunikasi di bawah kepimpinan Fahmi Fadzil. 

Inisiatif pelaksanaan 5G Malaysia dijangka menelan belanja lebih RM16.5 bilion bagi tempoh 10 tahun akan datang. 

Daripada jumlah peruntukan itu, DNB mengumumkan yang RM4 bilion akan dibayar kepada Ericsson bagi membekalkan peralatan rangkaian dan baki peruntukan lain adalah untuk pembiayaan infrastruktur, upah kawal selia dan kos korporat. 

Kabinet Anwar dijangka membuat keputusan mengenai isu kontraktor kedua 5G dalam bulan ini dengan sumber rapat kepada Perdana Menteri memberitahu yang Anwar cenderung untuk melantik kontraktor kedua. 

DNB bagaimanapun dilaporkan tidak mahu kontraktor kedua dilantik kerana pelbagai kontrak fasa pembangunan infrastruktur sudah ditandatangani dan ia boleh melambatkan pelancaran rangkaian 5G negara. 

Selain daripada kelewatan pelancaran, wujud juga kebimbangan tentang usaha melobi dilakukan syarikat China termasuk Huawei dan ZTE yang membida untuk menjadi kontraktor kedua.
 
Huawei misalnya dalam situasi terdesak untuk meluaskan pasaran di Asia Tenggara dan Timur Tengah selepas peluangnya berniaga di kebanyakan negara Barat disekat kerana risiko sekuriti dan keselamatan. 

Setakat ini, Huawei berjaya mendapatkan kontrak 5G di Filipina dan Kemboja, tetapi gagal di Singapura dan Thailand yang memilih Ericsson. 

Di Malaysia, Huawei mempunyai kerjasama strategik kuat jangka masa panjang dengan Maxis, operator rangkaian mudah alih terbesar negara. 

Eksekutif DNB turut meluahkan kebimbangan wujudnya risiko krisis diplomatik sekiranya Huawei terpilih kerana hubungan keruh syarikat teknologi China itu dengan negara barat termasuk Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah dan Kanda. 

“Malaysia perlu bimbang tentang bantahan daripada Five Eyes kerana kita perlukan teknologi dan pelaburan dari negara Barat,” kata seorang perunding kanan kepada DNB yan tidak mahu dinamakan, merujuk kepada rangkaian perkongsian perisikan global terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Australia dan New Zealand. 

Disunting dari: ChannelNewsAsia