SHAH ALAM: Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan akan bertanding di Selangor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Desas-desus beliau akan bertanding pada PRN akan datang sudah lama diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila Noh dilihat sebagai orang lama dan berpengaruh di Parlimen Tanjung Karang.
"Saya sudah sebati dengan politik. Saya bukan penonton, saya mesti terbabit sama dalam pertandingan politik.
"Jika pasukan dahulu (UMNO), selepas saya berkhidmat 30 tahun tendang saya, takkan saya jadi tukang sorak sahaja," katanya pada Majlis Ukhwah Raya di sini, hari ini.
Mengambil contoh pemain bola sepak, Noh berkata, beliau akan cari pasukan baharu kerana sebagai pemain yang hebat setelah disingkir satu pasukan, beliau akan pindah ke pasukan lain.
Kurang dua bulan sebelum PRN dijangka diadakan, tumpuan rakyat adalah kepada negeri Selangor di mana Perikatan Nasional (PN) dikatakan yakin untuk merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH)
Pada PRU15 tahun lalu, PN melalui PAS memenangi enam kerusi Parlimen Selangor, manakala PH memenangi 16 kerusi.
Noh bagaimanapun tidak dicalonkan pada PRU15 oleh UMNO ketika itu sebelum digantung keahliannya Januari lalu.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Januari memutuskan untuk menggantung keahlian Noh selama enam tahun, namun Bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu meminta untuk dipecat.
Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, media melaporkan anak Noh, Nurul Syazwani Noh akan bertanding untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang di bawah tiket BERSATU.
Nurul kini Ketua Srikandi Muda di Tanjong Karang, menyertai BERSATU selepas bapanya dipecat awal tahun ini.
Noh berkata, beliau memahami kekecewaan anaknya terhadap UMNO dan tidak menghalang niat Nurul Syazwani untuk bertanding dalam PRN membawa cabaran PN.
"Sebagai bapa, sudah tentu saya akan turun berkempen untuknya jika benar dicalonkan bertanding dalam PRN Selangor nanti," katanya.
Disunting dari: BHonline