Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sempena Syawal, tentera Islam Ukraine berdoa agar perang cepat berakhir



Meriah sungguh sambutan Syawal tahun ini sama ada di bandar mahupun di kampung, riuh kedengaran bunyi mercun berdentum bersilih ganti dengan bunyi meriam buluh. 

Suasana yang sama turut dirasai oleh saudara seagama kita di bumi Ukraine – namun bezanya yang ketara, dentuman bunyi mercun dan meriam itu digantikan dengan bingitan bunyi letupan bom, peluru berpandu serta pelbagai lagi serangan ketenteraan yang tidak berkesudahan menghujani.

Tatkala rakyat Malaysia bersuka ria menyambut Ketibaan Syawal serta meraikan kemenangan umat Islam, saudara seIslam kita di Ukraine juga turut mendoakan kemenangan dan pengakhiran bagi pencerobohan wilayah oleh tentera Rusia dalam solat Aidilfitri mereka di sekitar negara itu, sambil berharap agar konflik berakhir secepat mungkin. 

Terdapat tidak kurang 160 buah masjid di seluruh Ukraine, dan rata-ratanya memasang spanduk bertuliskan "Sokong Ukraine" dan "Doakan Ukraine" sebagai sokongan kepada tentera Ukraine yang sedang berjuang melawan kemaraan pencerobohan Russia.
 
"Kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kemenangan kepada tentera Ukraine dan memberikan perlindungan kepada seluruh rakyat Ukraine," ujar Abdul Rahman, seorang penduduk setempat di Kiev. 

Kurang satu peratus daripada penduduk Ukraine adalah beragama Islam, majoritinya berasal daripada kelompok Tatar Krim yang diusir oleh Josef Stalin pada tahun 1944.

Sejak permulaan episod pencerobohan Russia, umat Islam di seluruh Ukraine telah memberikan sokongan penuh kepada rakyat dan tentera Ukraine melalui pelbagai kegiatan amal dan kempen media sosial, dengan harapan konflik negara itu dapat diselesaikan dengan aman dan adil. 

"Kami berharap tentera Rusia akan meninggalkan Ukraine dan kedua-dua pihak akan dapat mencapai penyelesaian yang adil dan aman bagi semua pihak," tambah Abdul Rahman.

Konflik Ukraine-Rusia telah berlangsung selama beberapa tahun dan telah mencapai tahap kritikal setelah Rusia mula mencerobohi Ukraine pada Februari 2022. 

Kedua-dua pihak telah kehilangan ramai korban serta kerugian jutaan dolar, dan pihak-pihak yang terlibat di seluruh dunia masih terus mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan. 

Pada saat Russia menyerang, Mufti Said Ismahilov, 43 tahun - salah seorang pemimpin spiritual Islam Ukraine - telah memutuskan untuk melepaskan tugas keagamaannya untuk mempertahankan negaranya. 

Pada akhir tahun lalu, ketika amaran serangan mendatang oleh Russia semakin meningkat, Ismahilov mula berlatih dengan batalion pertahanan wilayah tempatan. Pada masa itu, beliau telah berkhidmat sebagai mufti selama 13 tahun. 

Lahir dan dibesarkan di Donetsk di timur Ukraine, Ismahilov telah melarikan diri dari Russia sekali sebelum ini, pada tahun 2014, ketika pemberontak yang disokong oleh Moscow menawan bandarnya. 

Akhirnya, beliau berpindah ke pinggir bandar yang tenang di luar Kyiv yang dipanggil Bucha - hanya untuk mendapati dirinya, lapan tahun kemudian, diancam serangan Moscow ke atas Kyiv, dan di tempat tragedi yang mengejutkan dunia. Terasa seperti ancaman penjajahan Russia tidak akan pernah berakhir. 

"Kali ini saya membuat keputusan bahawa saya tidak akan melarikan diri, saya tidak akan lari, tetapi saya akan berjuang," katanya dalam satu temu bual dengan The Associated Press di Kostiantynivka, sebuah bandar berdekatan dengan garis depan di timur Ukraine yang menjadi pertempuran untuk mengawal kawasan tersebut.

Ismahilov kini berkhidmat bekerja sebagai pemandu tentera paramedik yang mengangkut tentera yang tercedera akibat serangan dan pertempuran.

Walaupun tugas memandu dalam keadaan yang sangat berbahaya, dan terpaksa memberi sokongan emosi kepada pesakit yang kritikal, Ismahilov berkata bahawa beliau melihat pekerjaan barunya sebagai "lanjutan tugas kerohanian saya di jalan Allah". 

"Jika anda tidak takut dan dapat melakukan ini, maka ia sangat penting. Nabi sendiri adalah seorang pejuang," kata Ismahilov.

 "Jadi saya mengikuti contohnya dan saya juga tidak akan lari atau bersembunyi. Saya tidak akan memalingkan belakang kepada orang lain."

Terpaksa melarikan diri sekali lagi

Ismahilov adalah salah seorang daripada puluhan orang Islam Ukraine yang berkumpul di masjid di Kostiantynivka pada Sabtu untuk menyambut Aidilfitri - sambutan agama yang penting dalam Islam. 

Kini masjid itu adalah satu-satunya masjid yang masih beroperasi di wilayah Ukraine yang dikuasai di Donbas. Ismahilov memberitahu AP bahawa terdapat kira-kira 30 masjid di kawasan tersebut secara keseluruhannya, tetapi kebanyakan kini di tangan Russia. 

Minggu lalu, Russia menawan bandar Lysychansk, kubu kekuatan pertahanan Ukraine terakhir di wilayah timur Luhansk. Gabenor wilayah Luhansk berkata pada Sabtu bahawa tentera Russia kini menekan ke sempadan dengan wilayah Donetsk. 

Terdapat populasi Islam yang besar di Ukraine – kampung halaman kepada orang Tatar Crimea dan diekstradisi secara haram oleh Russia pada tahun 2014. Bilangan penduduk Islam di situ meningkat kepada 12 peratus. Komuniti Islam yang besar turut terdapat di timur Ukraine, kesan dari migrasi ekonomi ketika kawasan ini dikembangkan; ramai umat Islam berhijrah ke kawasan Donbas untuk bekerja di dalam sektor perlombongan dan kilang.

 Walaubagaimanapun, konflik pada tahun 2014 telah memaksa ramai warga Islam dari Crimea dan Donbas untuk berpindah ke bahagian lain di negara tersebut di mana mereka menyertai komuniti Tatar yang telah lama wujud atau membina pusat Islam baru bersama-sama dengan orang Turki, Arab dan pemeluk Islam Ukraine yang baru.

Namun kini, pencerobohan itu telah memaksa ramai umat Islam Ukraine untuk lari sekali lagi.

Rata-rata rakyat Ukraine masih dalam ketakutan

Masjid di Kostiantynivka dahulunya sibuk dan padat dengan penduduk Islam tempatan. Namun pada hari Sabtu lalu, hanya segelintir penduduk tempatan hadir, dengan kebanyakan yang lain telah pergi berhijrah ke tempat lain bersama keluarga mereka. 

Pada hari ini, jemaah masjid terdiri daripada askar atau paramedik tempur dari unit yang berbeza: Tatar Crimea dan orang Ukraine yang memeluk Islam dari Kharkiv, Kyiv serta barat Ukraine.

Merujuk kepada siri penahanan Tatar Crimea setelah ekstradisi pada tahun 2014, Ismahilov menyatakan bahawa umat Islam di sini tidak merasa selamat. "Terdapat banyak ketakutan. Peperangan berterusan dan kami tidak mempunyai idea apa yang berlaku di wilayah yang diduduki dan situasi umat Islam di sana," katanya.

Ismahilov turut memberitahu AP bahawa beliau menganggap umat Islam Russia yang terlibat di dalam usaha menyerang Ukraine, termasuk batalion Chechen yang terkenal dengan Ramzan Kadyrov, sebagai "penjenayah". "Mereka melakukan dosa dan...mereka datang sebagai pembunuh dan penjajah, di atas tanah air orang-orang Ukraine dan umat Islam Ukraine, tanpa sebarang justifikasi. Allah tidak memberikan hak kepada mereka," tambah Ismahilov. "Mereka akan dipertanggungjawabkan atas salah laku ini di hadapan Allah."

"Perang ini adalah perang kami"

Olha Bashei, 45, seorang peguam yang menjadi paramedik di Kyiv dan telah memeluk Islam pada tahun 2015, berkata bahawa Russia berhasrat untuk "menghapuskan Ukraine dari muka bumi." Bashei mula bekerja sebagai paramedik di barisan hadapan di Donbas pada tahun 2014, dan beliau menganggap perang ini sebagai "jihad" beliau.
 
"Perang ini adalah perang kami, dan kami mempertahankan jihad ini kerana kami mempunyai anak buah lelaki, saya mempunyai ibu dan saya harus mempertahankan rumah saya. Saya tidak mahu anak buah lelaki saya melalui apa yang telah kami lalui dalam perang ini" katanya. 

"Islam membantu saya kerana dalam Islam, semasa berdoa, anda sedikit sebanyak teralih dari perang kerana anda membaca doa dan mempunyai hubungan dengan Allah Yang Maha Kuasa. Bagi saya, Islam adalah satu kekuatan yang menyokong saya walaupun dalam perang."

Dalam khutbahnya selepas sembahyang Aidilfitri yang tradisional, Ismahilov memberitahu jemaah bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini mempunyai makna simbolik di tengah-tengah peperangan, dan meminta mereka mengingati orang Islam yang tinggal di wilayah yang telah diceroboh, di mana ramai telah kehilangan rumah mereka dan beberapa masjid telah musnah akibat pengeboman.

Ketika askar-askar bersedia untuk menziarahi keluarga sempena Aidilfitri, sebuah kawasan perumahan di Kostiantynivka beberapa kilometer jauhnya diserang dengan dentuman meriam yang hebat. 

Artileri masuk menggegarkan bumi;. sesetengah askar berlari dan berlindung di perkarangan masjid. Serangan berkenaan telah menyebabkan beberapa kebakaran, mencederakan beberapa orang penduduk serta membakar atap rumah hingga menjadi abu.

Ismahilov berkata mereka akan terus berdoa untuk kemenangan dan kebebasan bagi wilayah yang dicerobohi. "Kami berdoa agar rakan seagama Islam kami selamat, agar keluarga kami bersatu semula, agar orang Islam yang terbunuh akan pergi ke syurga, dan agar semua askar Muslim yang mempertahankan negara mereka akan diterima sebagai syahid oleh Allah."

Disunting dari: Aljazeera