Tun M bincang selesaikan kes saman dengan Zahid
KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tun Dr Mahathir Mohamad akan berbincang untuk menyelesaikan kes itu melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini.
Timbalan Perdana Menteri itu memfailkan saman terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kesnya yang masih berjalan di mahkamah.
Dr Mahathir pula menyaman Ahmad Zahid atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.
Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi berkata, perkara itu dimaklumkan semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris hari ini.
“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 14 Julai 2023 secara dalam talian untuk mengetahui status mediasi bagi kedua-dua kes saman itu,” katanya.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir berkata, jika pihak-pihak gagal mencapai penyelesaian, kes saman akan diteruskan dengan perbicaraan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 6 hingga 9 November ini untuk perbicaraan bagi kes saman Ahmad Zahid terhadap Dr Mahathir manakala perbicaraan kes saman Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid berlangsung selama empat hari bermula 11 September ini.
– Bernama