Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Zaman kegemilangan kadar hibah tinggi sudah berlalu


SAUDARA PENGARANG,

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) akan mengumumkan agihan hibah (perkongsian keuntungan) bagi 2022 pada awal suku kedua tahun ini.

Terdapat banyak ramalan dan jangkaan terhadap kadar pulangan hibah oleh Tabung Haji memandangkan ia akan bersandarkan situasi ekonomi dunia.

Situasi tidak menentu ekonomi dunia dan ketidakstabilan pasaran ekuiti global serta tempatan memberi petanda awal bahawa hibah yang bakal diterima oleh para pendeposit adalah rendah.

Strategi pelaburan yang dilaksanakan oleh Tabung Haji juga bersifat konservatif memandangkan situasi pasaran kewangan seperti saham yang bergolak disebabkan kenaikan agresif kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun lepas.


Pendekatan ini merupakan langkah selamat untuk mengelakkan Tabung Haji mengalami kerugian tinggi seterusnya mendedahkan risiko modal untuk hilang.

Selain itu, umum juga mengetahui peningkatan kos menunaikan haji oleh Arab Saudi pada 2022 ekoran pandemik Covid-19 serta kenaikan cukai dan pelbagai caj perkhidmatan.

Perbelanjaan Tabung Haji sehingga Jun 2022 juga meningkat RM134.42 juta kepada RM437.30 juta memandangkan Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggungnya.

Meskipun Tabung Haji mempunyai pelbagai saham pegangan secara langsung, namun masih ada beberapa sektor mengalami impak teruk daripada Covid-19 seperti hartanah dan pelancongan yang masih dalam proses pemulihan.

Oleh itu, ramalan kebanyakan pakar ekonomi adalah kadar hibah sekitar dua hingga 2.5 peratus dilihat wajar dengan tumpuan kepada prestasi ekonomi global serta pemulihan Tabung Haji yang masih berterusan.

Zaman kegemilangan kadar hibah tinggi dilihat sudah berlalu, namun pahit yang harus ditelan ini tidak harus dilihat sebagai satu perkara negatif.

Insya-Allah, jika ekonomi dunia kembali pulih, pengurusan Tabung Haji semakin mantap maka akan ada peluang untuk meraih hibah tinggi pada masa hadapan.

-UTUSAN

HASSAN A. NOOR
Putrajaya