Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

DNB perlu jadi pelaksana 5G, syarikat telco hanya fikir untung


Sejak kebelakangan ini, banyak desakan muncul supaya pemborong rangkaian kedua 5G diwujudkan bagi mencabar ‘monopoli’ Digital Nasional Berhad. Antara alasan yang digunakan adalah kewujudan pemborong kedua akan memastikan inovasi dan adaptasi teknologi 5G di negara ini. 

Kesemua desakan ini semuanya berkisar kepada perkara yang sama- keengganan untuk melihat DNB menjadi pemborong rangkaian tunggal. Dan walau apa pun rasional dan hujah yang cuba disampaikan, semuanya sudah dijawab panjang lebar pada 2022 oleh Ketua Pegawai Eksekutif DNB ketika itu, Ralph Marshall, bagi menjawab persoalan ditimbulkan YB Dr Ong Kian Ming. 

Malah hujah yang diberikan Marshall masih lagi relevan sehingga kini dan ia perlu jadi panduan kepada kerajaan semasa dalam membuat sebarang keputusan berkaitan 5G. 


Pertamanya, kerajaan memilih untuk mengguna pakai pemborong rangkaian tunggal 5G (SWN) bagi menangani isu kelemahan jaringan internet di Malaysia terutama jurang rangkaian antara bandar, pinggir bandar dan luar bandar. 

Syarikat telekomunikasi (MNO) diberikan kepercayaan untuk melaksanakan 4G pada 2013, dan mereka masih belum mencapai tahap kebolehcapaian 100% sehingga sekarang. 

DNB sebagai SWN akan menghapuskan kebergantungan kepada MNO untuk melabur dalam infrastruktur 5G sekaligus membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja rangkaian 4G yang masih belum siap sampai sekarang menerusi Pelan JENDELA. 

Pelantikan pemborong kedua bagi mencabar DNB akan mengancam hasrat merapatkan jurang digital. Pemborong kedua sebagai konsortium MNO sepenuhnya atau kerjasama kerajaan dan MNO akan meletakkan matlamat keuntungan dengan memfokuskan pelancaran 5G di kawasan tinggi permintaan.
 
Ini bukan sahaja mewujudkan konflik kepentingan antara hubungan konsortium MNO dan DNB, malah DNB dalam bentuknya yang sedia ada sekarang tidak akan mampu bersaing. 

Akhirnya, konsortium MNO sebagai pemborong kedua 5G akan menjadi pemborong tunggal, kita hanya mengikut rentak tari pihak tertentu dengan mewujudkan pelaksana kedua 5G. 

Keduanya, kewujudan DNB akan meletakkan rangkaian internet sebagai utiliti awam asas bukan lagi kehendak kehidupan.

Kepentingan awam ini hanya boleh dijaga menerusi SWN yang kepentingannya dipegang kerajaan. 

MNO sudah membuktikan mereka tidak akan melabur dalam infrasruktur rangkaian tanpa memindahkan kos tersebut kepada pengguna akhir iaitu rakyat.
 
Disebabkan itulah, harga internet di Malaysia antara tertinggi di dunia.

Pada 2018, Malaysia berada di kedudukan 74 daripada 167 negara dalam terma harga per Mpbs untuk perkhidmadatan fixed broadband dan 64 daripada 118 untuk perkhidmatan fiber broadband.

 Dalam soal harga kita jauh lebih mahal berbanding negara lain seperti Vietnam, Turki dan Mexico.  Malah untuk harga yang mahal, kelajuan internet Malaysia juga lembap, berada di kedudukan 63 daripada 130 buah negara dunia. 

Untuk rekod, Malaysia membenarkan MNO untuk melaksanakan 2G, 3G dan 4G tanpa ‘campur tangan’ kerajaan, tetapi apakah kita benar-benar menikmati hasil persaingan yang dicanangkan mereka? 

Disebabkan itulah, pelbagai usaha dilakukan pentadbiran untuk berunding dengan syarikat telekomunikasi bagi merendahkan pakej internet, tetapi ini tidak boleh dijadikan amalan biasa dalam hubungan kerajaan dan swasta.
 
Sedari awal, kerajaan perlu ada dasar kepentingan awam dan pihak swasta perlu bertindak selari tanpa menjejaskan keuntungan mereka.
 
Dalam konteks 5G, Malaysia mahu membetulkan legasi masalah yang terhasil kerana kita salah kagum dengan idea penswastaan era 1990-an yang mewujudkan masalah dalam industri telekomunikasi sekarang. 

Cubaan pertama membetulkan masalah adalah mempunyai entiti tunggal-DNB-yang bertanggungjawab sebagai pemborong rangkaian supaya MNO boleh memberi tumpuan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa memikirkan soal infrastruktur yang menelan belanja besar. 

Ketiga, Marshall juga menyentuh bagaimana SWN akan memperhebatkan persaingan dan memberi manfaat terbanyak kepada rakyat. 

DNB akan berkerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan penyedia infrastruktur untuk membangunkan rangkaian 5G dan menggunakan sepenuhnya infrastruktur sedia ada sekaligus mengelakkan pertindihan kerja seperti dilakukan dalam pelaksanaan 4G, ini akan mengurangkan kos keseluruhan pelaksanaan. 

Walaupun DNB bertanggungjawab melaksana rangkaian 5G, industri telekomunikasi masih lagi bebas untuk melabur dan bersaing bagi menyediakan khidmat tambahan bernilai tinggi 5G kepada pengguna. Ini akan mewujudkan saluran perolehan baru dan peluang kepada pertumbuhan industri. 

Jadi apabila wujud kritikan yang kerja infrastruktur rangkaian 5G dipegang DNB akan menyebabkan ketiadaan inovasi, kita perlu bertanya kepada MNO adakah mereka sebenar-benarnya kreatif dan inovatif dalam mencari jalan keuntungan baru tanpa bergantung kepada pembinaan infrastruktur semata-mata. 

Disunting dari: iMoney