Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isa Samad pulang ke pangkuan UMNO


SEREMBAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad, kembali menyertai UMNO.

Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam meluluskan keahlian Mohd Isa.

"Ya, saya sahkan keahlian Tan Sri Mohd Isa ke dalam UMNO diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi semalam


"Bagaimanapun, saya belum sempat ke pejabat untuk keluarkan surat keahlian kerana mesyuarat habis lewat malam tadi, tapi saya sahkan keahlian itu," katanya kepada pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mohd Isa, 74, mengumumkan keluar UMNO pada 27 September 2018 untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai calon Bebas ketika Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon.

Sementara itu, Mohd Isa ketika ditemui di lokasi sama, mengucapkan terima kasih kepada MKT yang meluluskan keahliannya dalam parti itu.

"Ketika orang lain keluar, saya masuk UMNO.

"Mereka tak kenang jasa UMNO, sebab itu saya ingin terus kekal dalam UMNO," katanya.

Katanya, UMNO banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dan walaupun hampir enam tahun berada di luar UMNO, sokongan tetap diberi kepada gerakan dan aktiviti parti.

"Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, saya turun memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN).

"Dalam PRN di enam negeri akan datang, saya akan bantu berkempen untuk calon Kerajaan Perpaduan.

"Saya berkeyakinan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan mampu mengekalkan pemerintahan berdasarkan kekuatan dan sokongan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menyifatkan kemasukan semula Mohd Isa dapat membantu parti menjelang PRN tidak lama lagi.

"Saya memang mengharapkan bekas pemimpin UMNO kekal dalam parti ini untuk menguatkan parti," katanya.