Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kejatuhan nilai ringgit juga membawa kebaikan -Rafizi


ISKANDAR PUTERI: Kerajaan masih tidak bercadang menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, walaupun nilai Ringgit menyusut sejak kebelakangan ini.

Namun Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan akan terus meneliti dan memantau perkembangan semasa mata wang tempatan itu sebelum apa jua langkah diambil.

Katanya, penyusutan nilai ringgit yang direkodkan sejak dua minggu ini banyak dipengaruhi oleh hasil perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) sekaligus mempengaruhi sentimen pasaran.


"Setakat ini, masih terlalu awal untuk kita menetapkan kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan kepada unjuran pertumbuhan ekonomi negara.

"Kita kena menunggu data perdagangan dan ekonomi dalam dua bulan ini. Apa yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan bukan semata-mata kadar nilai turun naik ringgit namun lebih kepada aktiviti perdagangan termasuk eksport, import, harga minyak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus (SLU) Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK ke-12) bersama Kerajaan Johor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar empat hingga lima peratus tahun ini.

Kelmarin, Ringgit dilaporkan terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain dalam tempoh enam bulan dan ketika ini didagangkan menghampiri paras rintangan pada 4.6257 berikutan krisis siling hutang AS, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Kali terakhir unit tempatan diniagakan pada paras semasa adalah pada 11 November 2022.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata kejatuhan nilai ringgit ketika ini turut membawa kebaikan.

Katanya, pendapatan negara terutama sektor minyak meningkat berikutan harganya diniagakan dalam nilai dolar Amerika.

"Lebih tinggi harga minyak dan ringgit yang lemah bermakna lebih banyak duit kita dapat, namun bagi eksport kita adalah sebaliknya.

"Jadi, kita akan terus memantau situasi tapi setakat ini tiada sebarang keperluan untuk menyemak semula unjuran," katanya.

-Mkini