Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerajaan beralih ke dwi rangkaian 5G untuk apa sebenarnya? soal KJ


Kuala Lumpur – 13 Mei 2023 
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mempersoalkan matlamat keputusan kerajaan mengubah pendekatan pelaksanaan 5G daripada pemborong rangkaian tunggal (SWN) kepada dwi pemborong rangkaian (DWN), menyifatkannya tidak memberi manfaat kepada pengguna dan negara. 

“Keputusan itu dibuat untuk apa? Pengumuman itu dibuat untuk tujuan apa?” soal Khairy dalam podcast bersama bekas timbalannya, Shahril Hamdan. 

“Tujuan 5G adalah untuk pelanggan untuk memastikan kita setanding dengan jiran kita yang sudah ada pelaksanaan 5G yang pantas. Adakah ini untuk pengguna dan ekonomi kita untuk membawa ke satu lonjakan digital atau adakah kita hendak main permainan untuk telko?” soal Khairy

“Atau ini permainan persepsi?” balas Shahril pula. 

Khairy turut mempersoalkan samada keputusan itu dibuat hanya kerana hendak menjaga air muka Pakatan Harapan.
 

“Keputusan ini seolah-olah nak memuaskan hati sebab sebelum ini Pakatan Harapan bantah SWN, sebab dah terlewat nak batalkan DNB, pada masa sama tak nak hilang air muka sebab selama ini membantah SWN dan mendengar lobi telko-telko tertentu dan buat keputusan ini tanpa perincian,” katanya.

Khairy juga menolak alasan monopoli digunakan Putrajaya untuk mengubah pendekatan pelaksanaan 5G, menyifatkan sekalipun ia monopoli ia adalah monopoli kerajaan untuk pembinaan infrastruktur, bukannya monopolis swasta bersifatkan keuntungan komersial.
 
“Ia bukan monopoli swasta, ia dimiliki kerajaan. Ini bukan monopoli swasta yang kutip duit, ini adalah kerajaan yang buat infrastruktur. 

“Kalau dibenarkan syarikat swasta buat dwi rangkaian borong, itu dual monopoli, sebab dua yang buat rangkaian,” katanya lagi.
 
Khairy turut menegaskan SWN adalah pendekatan terbaik berdasarkan pengalaman Malaysia yang menyaksikan rakyat terbeban dengan industri telekomunikasi yang menawarkan harga perkhidmatan yang tinggi tetapi kualiti yang buruk. 

“Saya berpendapat SWN adalah model terbaik sebab pengalaman kita di Malaysia di mana kita melihat bagaimana pengguna mobile di Malaysia membayar antara yang tertinggi di Asia Tenggara kecuali Singapura, mempunyai kualiti yang sangat-sangat rendah dan pada masa yang sama harga tinggi dibayar pengguna ini menyebabkan dividen yang sangat besar untuk telko di Malaysia yang agak luar biasa berbanding negara lain di Asia Tenggara,” katanya.
 
Beliau turut mempersoalkan tempoh masa pelaksanaan pemborong kedua rangkaian 5G, sesuatu yang disifatkannya tidak masuk akal. 

“Keputusan ini tidak membatalkan SWN sehingga akhir tahun ini di mana 80% kawasan berpenduduk ada liputan 5G selepas itu barulah dibuka satu lagi rangkaian borong, tapi bagi saya ia tak masuk akal, keputusan ini tidak ada sebab. 

“Kalau dah sampai 80%, siapa nak buat rangkaian lagi satu sebab akan menelan perbelanjaan yang besar?”soal Khairy. 

“Kecuali mereka tidak mahu menggunakan DNB dan ini yang kita risau.  Kalau dah boleh memiliki rangkaian kedua, dia (telko akan pakai rangkaian kedua,” kata Shahrir

Khairy turut memberikan kelebihan SWN yang membolehkan telko tidak membina infrastruktur sebaliknya memberi tumpuan kepada perkhidmatan dan produk mereka sahaja. 

“Infrastruktur tidak dibina oleh syarikat telko swasta atau GLC tetapi dibina oleh sebuah SPV kerajaan dan telko hanya perlu beli laluan sahaja, kelebihannya adalah pelaksanaan lebih cepat, kita tak perlu tunggu kepentingan komersial, kerajaan akan buat melalui DNB dan akhirnya kita akan dapat kos lebih rendah dijanjikan akan turun sehingga 13 sen per gigabyte berbanding dibuat swasta, (macam) pelaksanaan 4G dulu yang ada sampai 50 sen per gigabyte,” kata Khairy. 

“Syarikat telko tak perlu bayar spektrum dari MCM, telko hanya perlu fokus kepada perkhidmatan dan produk tak perlu fokus tentang infrastruktur, bagi saya ini satu model yang munasabah dan rasional dan untuk pengalaman Malaysia, kos tinggi kualiti rendah, ia masuk akal,” kata Khairy

“Kesimpulannya, keputusan ini tidak bagus,” katanya. 

Pada 3 Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan peralihan daripada SWN kepada DWN yang akan bermula apabila DNB mencapai tahap liputan 5G di 80% kawasan berpenduduk negara yang dijangka akan berlaku seawal tahun depan. 

sumber: Youtube