MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT TINGGI PENGURUSAN PELARIAN DAN PEMOHON SUAKA BIL 2/2023
Dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Mesyuarat bersetuju peranan dan penglibatan entiti Kerajaan, UNHCR dan NGO di dalam negara dan luar negara perlu diselaras dan diperkemas.
Penekanan akan diberikan terhadap mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, dasar–dasar membabitkan kebajikan dan sosial di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Mesyuarat turut bersetuju dan mengambil berat terhadap kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti–aktiviti yang dijalankan oleh segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka ini yang bertentangan dengan norma kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat yang sekaligus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan.
Pihak UNHCR mestilah melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara selaras mandat dan fungsi penubuhannya dan tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata–mata terhadap Kerajaan atau komuniti rakyat tempatan.
Kerajaan juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang didapati bersekongkol dengan ejen–ejen pemerdagangan manusia menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke negara ini.