KUALA LUMPUR – Mufti Besar Rusia, Ravil Gaynutdin menganugerahkan ‘Medal of Spiritual Unity’ (Pingat Perpaduan Rohani) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anugerah tersebut telah disampaikan Ravil yang juga Pengerusi Muslim Spiritual Board Rusia di Grand Cathedral Mosque, Moscow semasa siri lawatan rasmi Mohamad ke negara itu.
Mohamad mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi lawatan kerja ke Rusia bermula pada 15 hingga 23 Mei 2023.
Lawatan Mohamad ke Rusia selaras dengan penyertaan Forum Antarabangsa Ekonomi ke-14, KazanForum: Dunia Islam-Rusia 2023.
KazanForum merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Rusia melalui Kerajaan Republik Tatarstan sejak 2009 sebagai platform bagi memperkukuhkan kerjasama antara Rusia dengan negara-negara Islam.
Program utama di bawah KazanForum 2023 antaranya ialah Ekspo Halal Rusia 2023 yang melibatkan pameran dan promosi produk makanan halal.
Melalui ekspo ini, Malaysia boleh meneroka potensi dan peluang mempromosikan buah-buahan tropika yang sedia dieksport serta memperkenalkan produk makanan halal bukan sahaja kepada Rusia malah kepada negara-negara OIC yang turut menyertai KazanForum 2023.
Semasa di KazanForum 2023, Mohamad akan menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat Malaysia dan Rusia bagi memberi gambaran dan menyatakan wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia.
Di samping itu, Mohamad juga akan menyampaikan ucaptama pada sesi plenari forum tersebut dengan tema Teras Ekonomi: Kerjasama antara Rusia dan negara-negara OIC.
Dalam rangka lawatan kerja ini, Mohamad dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Rusia, Dmitry N. Patrushev.
Mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Republik Tatarstan, Marat Zyabbarov bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dan Rusia dengan mengutamakan akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Rusia.
Lawatan kerja ini akan disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pegawai-pegawai kanan KPKM serta pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
– MalaysiaGazette