Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ancaman China: Petronas bakal rugi, kerajaan masih membisu


Kuala Lumpur – 27 April 2023 
Ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada awal April, pegawai China mempersoalkan penerokaan minyak dan gas dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan. 

Tindakan China ini dilihat penganalisis sebagai usaha berterusan China untuk menambah tekanan kepada Putrajaya supaya tidak meneroka sumber alam dalam kawasan kedaulatannya sendiri, ketika pentadbiran Anwar cuba menambahkan kemesraan hubungan Malaysia-China. 

Anwar di Parlimen pada 4 April lepas mengakui yang China bimbang Petronas “menjalankan aktiviti besar-besaran dalam kawasan yang juga dituntut China.” 


China dalam usaha menuntut lebih 90% kawasan Laut China Selatan menerusi “sembilan titik bertindih” yang merentasi kawasan ZEE Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Indonesia. 

Walaupun begitu, keputusan panel timbang tara antarabangsa di The Hague pada 2016 menolak tuntutan Beijing dan mengangkat Konvensyen Undang-Undang Laut PBB yang menetapkan setiap negara mempunyai hak untuk meneroka sumber alam dalam kawasan ZEE mereka. ZEE adalah kawasan seluas 370km dari pesisir pantai negara tersebut. 

Collin Koh, felo penyelidik Insitut Kajian Pertahanan dan Strategik Singapura memberitahu Al Jazera yang Beijing menyedari hubungan erat ekonomi China-Malaysia boleh digunakan untuk memberi tekanan kepada Putrajaya. 

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, dengan nilai perdagangan mencecah AS$ 203.6 bilion pada 2022 sahaja. 

“Memandangkan ia adalah lawatan pertama Anwar ke Beijing dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, saya percaya China merasakan ia peluang untuk cuba menyakinkan Malaysia untuk menghentikan kerja-kerja penerokaan sumber tenaga di kawasan berkenaan, terutamanya di Sarawak,” katanya.
 
Walaupun Anwar dan China tidak menamakan kawasan yang menjadi tumpuan perbincangan ketika lawatan, penganalisis percaya ia adalah tapak gas Kasawari yang sedang dibangunkan Petronas, terletak 200 km dari pesisir Sarawak. 


Kasawari ditemui pada 2011 dan dianggarkan mempunyai 3 trilion kaki persegi sumber gas. Menurut CEO Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, simpanan sumber di situ cukup besar untuk memastikan syarikat kekal dalam tangga lima teratas pengeksport gas asli dunia. 

Menurut Yeah Kim Leng, profesor ekonomi Sunway Universiti pula, simpanan gas di Kasawari bersamaan dengan kira-kira 10% simpanan gas asli Malaysia, menjadikannya antara tapak cari gali terpenting yang sedang dibangunkan ketika ini. 

Kasawari dijangka mampu mengeluarkan sehingga 900 juta kaki persegi gas sehari apabila beroperasi, dan menurut jurucakap Petronas yang enggan dinamakan, tapak gas itu sangat mustahak bagi Petronas mencapai tahap sifar pembebasan karbon menjelang 2050. 

Bagaimanapun, pembangunan tapak gas Kasawari berdepan dengan pelbagai insiden pencerobohan kapal laut dan pesawat pejuang China sehingga mencetuskan bantahan diplomatik Putrajaya. 

Pada 2021, Menteri Luar ketika itu, Saifuddin Abdullah berkata, beliau menjangkakan pencerobohan kapal laut China akan bertambah “selagi mana” Petronas membangunkan kawasan itu. 

Menurut Greg Polling, pengarah Inisiatif Ketelusan Maritim Asia di Washington pula, Kasawari memang menerima tekanan dari kapal China seperti mana tapak cari gali lain di Laut China Selatan.
 
“Ikutkan sejarah memang kita nampak yang CCG (Pengawal Pantai China) memberi tumpuan untuk menganggu kapal sokongan pesisir pantai daripada merapati tapak cari gali untuk beroperasi,” katanya. 

Tambah Polling lagi, kapal China memang dikenali sengaja mewujudkan risiko pelanggaran bagi memberi tekanan kepada syarikat vendor untuk tidak mengambil kontrak berkhidmat di tapak cari gali yang menjadi tumpuan mereka.
 

Selain Kasawari di Sarawak milik Petronas, China turut memberi tekanan kepada tapak gas Nam Con Son milik Vietnam dan tapak gas Tuna di Indonesia. 

Menurut penganalisis, China kini cuba menggunakan hubungan mesra dengan kerajaan Anwar bagi memberi kelebihan kepadanya dalam isu Kasawari. 

“China berminat untuk menyuburkan kerajaan Malaysia yang mesra di bawah Anwar dan nampaknya kedua-dua negara berterusan cuba menekankan pendekatan ‘gambaran lebih besar’ dalam hubungan menyeluruh pelbagai perkara dan bukan hanya pertikaian mengenai Laut China Selatan,” kata Koh dari Singapura.
 
Untuk rekod, Anwar sebaik pulang dari lawatan ke China mengumumkan janji pelaburan bernilai RM170 bilion walaupun broker berpandangan buat masa sekarang ia hanyalah “jabat tangan versi kertas.” 

China tidak asing dalam menggunakan tekanan diplomatik bagi mempengaruhi pentadbiran negara lain. Dalam kejadian terbaru, duta China di Filipina mengugut pekerja Filipina di Taiwan selepas negara itu memperhebat kerjasama dengan Amerika Syarikat, duta China ke Perancis mempertikaikan kedaulatan 14 negara bekas Kesatuan Soviet, dan terbaru, menteri luar China mengecam Korea Selatan kerana sokongannya kepada Taiwan. 

Disunting dari: Aljazeera