Rosmah Mansor mendakwa sebuah firma barang kemas Lubnan menghantar barang kemas bernilai jutaan ringgit tanpa diminta dan tindakan tersebut adalah sebahagian daripada publisiti perniagaan mereka.
Isteri bekas perdana menteri itu membuat kenyataan tersebut sebagai pembelaannya terhadap tuntutan saman barang kemas RM67.46 juta yang difailkan semula oleh Global Royalty Trading SAL (Global Royalty).
Dalam pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam, Rosmah berkata, pihak plaintif mahukan publisiti untuk perniagaan mereka kerana dia adalah isteri kepada Najib Razak yang menjadi perdana menteri ketika itu.
“Oleh itu, barang-barang (perhiasan) dihantar kepada defendan untuk defendan meneliti (perhiasan) atas niat dan kehendak plaintif sendiri, dan tanpa kewajipan di pihak defendan untuk membeli barang tersebut.
“Defendan menafikan bahawa defendan meminta barang kemas seperti yang dinyatakan oleh plaintif.
“Defendan menyatakan di sini bahawa tujuan barang kemas itu dihantar kepadanya adalah untuk faedah dan keuntungan plaintif sendiri (manfaat dan keuntungan plaintif sendiri) dengan mengumpul, mendapatkan dan/atau menarik publisiti di kalangan pembeli,” kata Rosmah dalam kenyataan yang dilihat Malaysiakini.
Pada April lalu, Global Royalty memfailkan semula tindakan sivil RM67.46 juta ke atas Rosmah, meminta pemulangan barang kemas yang didakwa plaintif telah dihantar kepada defendan untuk tujuan tontonan.
Berbanding pemulangan barang kemas itu, firma terbabit berusaha mendapatkan semula kos barangan berkenaan pada nilai RM67,461,027 (AS$14,567,270).
Sebelum ini, pada 2019 firma berkenaan memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi ia ditarik balik kemudian.
Global Royalty mendakwa pada 2018 Rosmah telah menulis surat kepada mereka untuk mengesahkan penerimaan barang kemas terbabit tetapi mendakwa semua itu tidak lagi dalam milikannya kerana dirampas dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa.
Berikutan PRU ke-14 pada Mei 2018, pentadbiran PH mengambil alih kerajaan pimpinan Najib, dan bekas perdana menteri itu berdepan dengan siasatan serta kes mahkamah yang dikaitkan dengan 1MDB .
Dalam pernyataan pembelaannya, Rosmah berhujah bahawa klausa dalam perjanjian antara dia dan Global Royalty ialah barang kemas diserahkan kepadanya untuk diteliti dan diperiksa, dan bil jualan hanya dikeluarkan selepas itu jika dia berminat untuk membelinya.
“Defendan menekankan bahawa dia mengambil langkah berhemat biasa untuk memastikan keselamatan barang kemas itu.
"Defendan akan memberikan butiran langkah keselamatan yang diambil semasa perbicaraan akan datang (tindakan sivil).
“Oleh itu, defendan tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kehilangan barang kemas itu kerana ia telah diambil oleh Polis Diraja Malaysia dan/atau kerajaan Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang, dan defendan bukanlah punca kehilangan barang kemas tersebut,” dakwa Rosmah.
Amar Singh dalam kenyataan media selepas merampas semua barang kemas milik Rosmah |
Rosmah seterusnya berhujah dia tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kehilangan barang kemas terbabit kerana rampasan barangan oleh pihak berkuasa adalah tidak dapat diduga dan hanya kerajaan Malaysia boleh diarah untuk membayar kerugian yang dialami oleh syarikat berkenaan.
Disunting dari: Malaysiakini