SEMPORNA: Seorang pelancong asing ditahan selepas tular rakaman video aksinya berb0gel di balkoni sebuah bilik hotel di daerah ini, pada Khamis.
Suspek lelaki berumur 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis di hotel berkenaan, kira-kira jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 8 pagi, 6 Jun lalu.
Katanya, suspek dengan sengaja keluar ke balkoni sebuah bilik hotel yang menghadap jalan raya dalam keadaan berb0gel.
“Perbuatan lelaki itu dirakam oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan sebelum video itu tersebar di media sosial.
“Susulan video berdurasi sembilan saat yang tular itu, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek terbabit,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Mohd Farhan berkata, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan mengikuti Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan atas kesalahan berkelakuan luc4h di tempat awam.
Menurutnya, suspek kini direman mengikuti Seksyen 117 Kanun Prosedur jenayah selama empat hari sehingga 12 Jun 2023 untuk siasatan lanjut.
“Polis memohon orang awam yang merakam kejadian itu supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk membantu siasatan.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Khadijah Mohd Seruji di talian 019-8718002 atau IPD Semporna di talian 089-781222/089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Farhan berkata, polis menasihatkan pelancong supaya mematuhi undang-undang negara serta menghormati adat dan budaya masyarakat tempatan.
“Kerjasama orang ramai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan keselamatan daerah ini sangat dihargai,”katanya.
video:
-Utusan Borneo Online