Kuala Lumpur – Penggodam (hacker) yang ditaja negara China telah menembusi rangkaian infrastruktur kritikal milik Amerika Syarikat, dan dipercayai serangan juga sudah bermula di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Microsoft, syarikat itu memberi amaran yang Guam, wilayah AS di Lautan Pasifik, yang mempunyai pangkalan tentera adalah sasaran utama serangan siber itu.
Tetapi, aktiviti berniat jahat penggodam ditaja negara China turut dikesan di beberapa tempat utama infrastruktur kritikal Amerika.
Katanyanya lagi, penggodaman itu dikenali sebagai “Taufan Volt” sudah bermula sejak pertengahan 2021 dan bertujuan mengekang keupayaan Amerika Syarikat untuk bertindak sekiranya konflik tercetus.
“Penilaian dengan keyakinan sederhana Microsoft mengesahkan yang kempen Taufan Volt ini adalah untuk membangunkan keupayaan yang boleh menganggu infrastruktur komunikasi kritikal Amerika Syarikat dan rantau Asia sekiranya krisis tercetus pada masa depan,” kata syarikat itu.
Kenyataan Microsoft itu senada dengan nasihat risiko keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa Amerika Syarikat, Australia, Kanada, New Zealand dan United Kingdom.
Dalam nasihat itu, “pelaku siber ditaja negara” China dipercayai menjadi dalang serangan siber itu dan ia berkemungkinan berlaku secara global.
Pengarah Agensi Sekurit Siber dan Keselamatan Infrastruktur Amerika Syarikat Jen Easterly turut mengeluarkan amaran tentang tindakan penggodam China.
“Sejak bertahun lamanya, China melakukan operasi di seluruh dunia untuk mencuri harta intelek dan data sensitif daripada organisasi infrastruktur kritikal di seluruh dunia,” kata Easterly.
Keupayaan China melakukan serangan siber bertambah rumit apabila wujud dakwaan yang syarikat teknologi negara itu seperti Huawei dan ZTE menjadi alat perisikan kerajaan.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 2018 dan 2020 mendakwa Huawei dengan pelbagai pertuduhan jenayah seperti membantu Iran merisik rakyatnya, penipuan percukaian dan pencabulan hak asasi.
Teknologi syarikat itu juga dilaporkan digunakan untuk mencabul hak asasi etnik Uighyur di wilayah Xinjiang, dengan PBB menyifatkan krisis kemanusiaan itu sebagai “krisis kemanusiaan terburuk” yang sedang berlaku sekarang.
Dalam konteks Malaysia, Huawei antara pembida utama dalam pelaksanaan rangkaian 5G sebelum kontrak diberikan kepada Ericsson.
Bagaimanapun ia dijangka akan menjadi pesaing utama untuk menjadi kontraktor kedua selepas pemborong rangkaian kedua 5G negara diwujudkan seawal tahun depan.
Disunting dari: BangkokPost