Vietnam dilaporkan keberatan mengecam tindakan berterusan China yang melakukan pemantauan di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), malah media negara itu yang dikawal ketat juga dilarang melaporkan pencerobohan itu.
Negara itu bagaimanapun mengeluarkan kenyataan rasmi 11 hari selepas pencerobohan berlaku, tetapi turut mengecam tindakan Filipina menurunkan beberapa boya laut di Laut Filipina Barat.
Dalam kejadian terbaru itu, kapal China dan Vietnam beberapa kali bertembung di dalam kawasan ZEE Vietnam. Kapal kajian China itu dikatakan sedang melakukan kajian pemantauan di kawasan sekitar, tindakan yang dianggap mencabar kedaulatan negara sekiranya dilakukan tanpa notis awal kepada negara pemilik ZEE tersebut.
China berkata kapal kajian saintifik itu adalah aktiviti biasa dilakukannya di dalam kawasan yang menjadi “bidang kuasa China.”
Untuk rekod, China adalah rakan pelabur terbesar Vietnam yang membawa masuk AS$723.2 juta pelaburan pada suku pertama 2023. Pelaburan China di Vietnam meningkat lebih 17% antara tahun 2015 hingga 2020.
Kenyataan tunggal untuk dua isu berbeza itu dianggap penganalisis sebagai cubaan Hanoi tidak mencetuskan kemarahan Beijing secara langsung dan enggan berdepan isu sebenar – pencerobohan China yang semakin bertambah di kawasan ZEE negara sekitar rantau Asia Tenggara.
Ketegangan di sekitar Laut China Selatan, antara laluan perdagangan terpenting dunia bernilai lebih AS$3 trilion itu semakin bertambah dengan siri pencerobohan kapal China kerana negara itu menuntut hak milik sebahagian besar kawasan itu.
Tuntutan China ke atas sebahagian besar kawasan Laut China Selatan -kawasan yang dianggarkan mempunyai simpanan minyak hampir 11 bilion tong dan 190 trilion kaki persegi gas asli- bermula sejak 1970-an lagi, mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Walaupun Mahkamah Timbang Tara The Hague pada 2016 menolak hampir kesemua tuntutan China ke atas Laut China Selatan, negara itu terus berdegil dalam meneruskan pencerobohan di beberapa kawasan strategik ZEE negara lain termasuk di tapak projek penerokaan gas asli, Kasawari, yang sedang dibangunkan Petronas terletak hampir 200 km dari pesisir pantai Sarawak.
Disunting dari: Straitstimes