Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sanusi digesa henti berdrama, selesai masalah air Kedah segera


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor perlu menghentikan drama politik murahan dan mengutamakan penyelesaian masalah air di negeri itu dengan kadar segera.

Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim menggesa perkara itu bagi membidas kenyataan yang dimuatnaik Muhammad Sanusi di laman Facebook yang seolah-olah menyerang Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke Jelajah Ikon Madani di Kedah dan Perlis baru-baru ini.

“Saya minta Sanusi fokus pada tugas masing-masing dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Jangan merendahkan diri sendiri sebagai seorang MB dengan berperangai loqlaq dan cara memperlekeh kerja orang lain.


“Kita mengambil pendekatan untuk menjelaskan isu-isu yang berbangkit secara terbuka dan penuh tanggungjawab berbanding pendekatan Sanusi yang tidak lebih dari sekadar bertujuan mengalih perhatian terhadap kegagalan menguruskan isu air dengan membangkitkan isu tuntutan kedah ke atas Pulau Pinang.

“Rakyat Kedah ramai yang merungut pasal isu air, minta Sanusi fokus dengan menyelesaikan masalah rakyat berkenaan isu air dari terus mencari kesalahan orang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Johari pada masa sama kurang senang dengan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu yang tidak menyentuh isu air Kedah yang mendapat perhatian ramai mahasiswa.

Beliau mendakwa, pendekatan Muhammad Sanusi jauh berbeza kerana hanya mempergunakan mahasiswa untuk meraih sokongan politik demi survival jawatan sebagai menteri besar.

“Semua yang hadir boleh lihat bahawa sesi soal jawab tersebut berjalan dengan cukup aktif, tiada soalan disekat yang jelas ternyata mahasiswa cukup cakna dalam hal ini. Dalilnya, mereka membangkitkan tentang mutu perkhidmatan bekalan air yang cukup teruk di Kedah serta kewajaran isu Kedah menuntut Pulau Pinang sebagai wilayahnya yang sering kali disuarakan oleh Sanusi.

“Pendekatan dalam program di Universiti Utara Malaysia ini cukup jauh berbeza dengan cara Sanusi yang mengumpulkan mahasiswa di kediaman rasmi menteri besar dan kemudiannya mahasiswa diminta berikrar untuk menyokong Pas, ini sikap terdesak Sanusi,” dakwanya.

Muhammad Sanusi dalam hantaran di Facebook itu turut mempersoal kehadiran Saifuddin ke townhall itu serta mendakwa Setiausaha Agung PKR itu mempunyai ‘masa’ untuk menyebarkan propaganda berbanding kerja hakiki sebagai menteri.

Beliau juga mendakwa Saifuddin mengarahkan tiada sebarang rakaman dibuat.

Johari menjelaskan, Saifuddin tampil sekadar bagi memenuhi jemputan ke Jelajah Ikon Madani yang penganjurnya adalah Yayasan Prihatin Nasional.

“Tidak timbul isu halangan untuk sesiapa merakam, siaran langsung tidak dapat dibuat kerana capaian internet di situ yang teruk. Rakaman telah dibuat dan akan disiarkan penuh di media sosial.

“Program ini pula berlangsung pada hari Sabtu dan kebetulan Saifuddin berada di Kedah di samping tugas hakiki beliau sebagai Menteri Dalam Negeri dan juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah. Jadi apa yang masalahnya beliau hadir penuhi jemputan penganjur?” soal Johari.

 -MalaysiaGazette