Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Selepas Xinjiang, penganut Islam di Yunnan pula ditindas (video)


Kuala Lumpur – Selepas Xinjiang, China memperhebat kempen menindas agama Islam dengan usaha terbaru kerajaan komunis negara itu cuba mengubah menara dan kubah masjid di wilayah Yunnan pada minggu lepas. 

Bagaimanapun, cubaan itu mendapat tentangan ribuan penganut Islam yang turun padang mengepung masjid tersebut bagi menghalang kerja-kerja ubah suai. 

Menurut laporan CNN, video dimuat naik di media sosial menunjukkan penganut Islam yang mengepung masjid itu bertempur dengan polis rusuhan. 

“Ini adalah maruah terakhir kami, mereka datang ke rumah kami untuk hancurkan rumah kami. Kami tak boleh biarkan ia berlaku,” kata salah seorang saksi kejadian yang tidak mahu dikenali. 


Menurut Ma Ju, aktivis Hui ternama yang kini menetap di Amerika Syarikat, lebih 30 orang ditahan dalam kejadian itu. 

Masjid milik kaum Hui Islam di perkampungan Najiaying, Yunnan itu adalah sasaran terbaru dalam kempen Presiden China Xi Jinping untuk “mencinakan” semua perkara. 

Kempen itu bertujuan untuk menyingkirkan semua “pengaruh asing” dan menyelaraskan semua agama dengan budaya tradisi China dan pemerintahan kuku besi Parti Komunis China. 

Sejak beberapa tahun lepas, kerajaan China mengubah suai reka bentuk binaan Islam dengan meruntuhkan menara dan mengubah kubah lebih seribu masjid suku kaum Hui di seluruh negara dengan masjid di Najiaying itu adalah sasaran terbaru.
 
Najiaying yang terletak di daerah Yunnan adalah pusat penting kebudayaan Islam di negara itu kerana sempadannya yang berhampiran dengan Asia Tenggara dan sejak berkurun lamanya menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang melahirkan masyarakat pelbagai budaya. 

Pihak berkuasa China mengeluarkan kenyataan yang polis sedang menyiasat kejadian itu kerana ia “menjejaskan aturan sosial dan memberi kesan sosial yang buruk.” 

Penganjur dan peserta yang hadir dalam kejadian itu diarah menyerah diri sebelum 6 Jun atau berdepan hukuman berat. 

Internet di kawasan itu turut dipotong dengan dron diterbangkan untuk memantau perkampungan itu. 

Kejadian ini bukan kali pertama berlaku melibatkan kaum Hui Islam, pada 2018 ribuan penduduk Hui beragama Islam di Ningxia melakukan protes duduk selama tiga hari bagi menghalang pihak berkuasa meruntuhkan masjid yang baru dibina. 

Pihak berkuasa mengalah dengan tidak meruntuhkan masjid itu sepenuhnya tetapi mengubah menara dan kubah masjid dengan seni binaan berunsurkan budaya cina. 

Kaum Hui dianggarkan berjumlah 11 juta orang menetap di pesisir pantai timur China termasuk di wilayah autonomi, Ningxia. Mereka bercakap bahasa mandarin dan sejak berkurun lamanya diberi kebebasan untuk mengamalkan agama mereka. 

Bagaimanapun, aktivis Hui berkata kaum itu kini menjadi sasaran terbaru kerajaan komunis China selepas Xinjiang. 

Mereka mendakwa lebih 2,000 masjid diubah reka bentuk atau diruntuhkan malah kebebasan beragama mereka disekat termasuk pemansuhan sekolah agama Islam, kelas bahasa Arab dan mengharamkan kanak-kanak daripada belajar dan mengamalkan ajaran Islam. 

Ini bukan kali pertama kerajaan komunis China menindas rakyatnya yang beragama Islam. Sejak 2017, kaum Uighyur di Xinjiang dipenjara, ditindas dan ditekan dengan ratusan pusat tahanan dibina dan dipaksa mengubah identiti budaya dan agama mereka. 

Laporan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pencabulan hak asasi Uighyur sangat buruk dan dianggap sebagai “jenayah ke atas kemanusiaan”.
 
video:


Disunting dari: CNN